Responsive Advertisement

Annuar Musa sedia terima hukuman FAM jika bersalah

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau bersedia menerima apa sahaja hukuman yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib jika benar dirinya dianggap bersalah oleh badan induk itu.

Namun katanya, pada masa yang sama, FAM perlu realistik dalam menjatuhkan hukuman itu kerana jika silap, hukuman berkenaan akan dilihat sesetengah pihak sebagai satu "salah pentafsiran" yang akan memburukkan lagi keadaan.

"Apa yang saya khuatir akan berlaku salah tafsir dan jika berlaku salah tafsir akan berlaku ketidakadilan... ini perlu penelitian lebih lanjut (jika berlaku perkara itu) dan kongres perlu buat penambahbaikan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau juga tidak mahu menjangkakan apa bentuk hukuman yang bakal diputuskan nanti kerana khuatir ia akan menimbulkan persepsi lain dan semua pihak perlu menghormati apa sahaja keputusan jawatankuasa itu.

Annuar berkata, beliau akan membawa seseorang yang arif dalam bidang undang-undang ketika menghadap jawatankuasa berkenaan bagi membantunya menjawab segala pertuduhan yang dikenakan gara-gara secara terbuka mengkritik prestasi skuad kebangsaan di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal sebelum ini.

Katanya, FAM perlu melihat daripada sudut mana kesalahan itu dijatuhkan kerana pada masa itu beliau hanya menjawab soalan wartawan mengenai persembahan pasukan negara.

"Ketika itu Presiden dan timbalan tidak ada dalam negara dan saya pada waktu itu mewakili FAM yang jika saya tidak menjawab soalan mudah dari rakan wartawan ketika itu adalah tidak baik untuk persatuan dan saya boleh dihukum jika tidak menjawabnya pula seolah-olah saya tidak bersedia dan tidak bertanggungjawab," katanya.

Dalam pada itu, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah berkata, Annuar dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin badan induk bola sepak negara pada 4 April ini kerana didakwa secara terbuka mengkritik prestasi skuad kebangsaan di bawah kendalian Rajagobal di media.

Baginda bertitah, Annuar perlu berdepan dengan jawatankuasa itu kerana tindakannya ternyata melanggar peraturan badan induk bola sepak negara kerana apa yang dilakukannya merupakan satu kesalahan yang amat besar.

"Bila kita buat satu benda yang bodoh, yang menyalahi undang-undang, kita kena berhadapan dengan tindakan itu," katanya di Kuantan.

Sultan Ahmad Shah bertitah, Annuar sepatutnya lebih arif mengenai peraturan yang telah ditetapkan FAM kerana Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Februari lalu telah menyatakan bahawa hal FAM tidak wajar disebar kepada media tetapi patut dibawa berbincang dengan jawatankuasa berkenaan.

Baginda bertitah, Annuar sepatutnya lebih tahu mengenai peraturan itu kerana ketika mesyuarat Exco baru-baru ini telah diberitahu oleh Tengku Abdullah supaya jangan lantang memberi keterangan kepada media tanpa kebenaran FAM.

Antara pertuduhan ke atas Annuar ialah melanggar Statut FAM dengan membuat kenyataan akhbar, di mana hanya Presiden FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM saja boleh memberi komen berkenaan skuad kebangsaan.

Annuar juga dituduh melanggar titah Timbalan Presiden FAM ketika mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Februari lalu iaitu hal-hal FAM tidak wajar disebar kepada media dan sepatutnya dibawa berbincang dengan jawatankuasa tersebut.

Sebelum ini, bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar digantung tiga tahun pada 1991 dan Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil dua kali digantung iaitu pada 2001 (empat tahun) dan 2006 (setahun) kerana mengkritik FAM. - Bernama