Responsive Advertisement

Nadzmi pertahankan ketidakhadiran Chong Wei

"JIKA dia kata sakit, kita perlu hormati dan terima. Jangan pertikai serta sangsi," demikian reaksi Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh berhubung tindakan jaguh perseorangan badminton, Lee Chong Wei yang gagal menghadirkan diri menerima anugerah Olahragawan 2011, Selasa lalu.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu juga meminta isu itu tidak diperbesarkan kerana khuatir ia akan mencetuskan ketegangan tatkala jaguh perseorangan itu akan menjadi sandaran utama menamatkan kemarau pingat emas di Sukan Olimpik Julai ini.

“Kita mempunyai misi lebih besar tidak lama lagi, jadi sebaik-baiknya jangan menimbulkan isu remeh temeh yang boleh menjejaskan semangat dan tumpuan pemain itu menghadapi temasya berprestij berkenaan,” katanya.

Nadzmi menambah andai wujud kesangsian di kalangan pihak tertentu dengan alasan diberi Chong Wei, beliau menasihatkan pihak berkenaan menyiasat mengenai punca dan motif pemain itu bertindak sedemikian.

“Memang anugerah itu satu pengiktirafan tertinggi tetapi jika terdapat keraguan ada atlit sengaja tidak mahu datang dengan memberi pelbagai alasan, siasat apa motif dan punca mereka tidak hadir. Mungkin merajuk atau sebagainya,” katanya.

Ketika ditanya adakah Chong Wei ada memaklumkan bahawa dia tidak hadir kepada beliau, Nadzmi berkata: “Dia tidak ada beritahu, saya hanya tahu pada malam itu daripada setiausaha (Ng Chin Chai). Lagipun, saya bukan jaga dia 24 jam,” katanya.




Selasa lalu, kegagalan jaguh perseorangan itu menghadirkan diri menerima anugerah Olahragawan 2011 buat kali ketiga daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mengundang pelbagai spekulasi walaupun dia memberi alasan menghadapi masalah kesihatan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong jelas terkilan dengan tindakan Chong Wei walaupun sehari sebelum majlis itu berlangsung pemain itu sudah dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan pemain itu membalasnya dengan memberitahu tidak dapat hadir tanpa memberi alasan kukuh.

Sementara itu, Chong Wei yang dihubungi enggan mengulas dengan berkata: “Siapa yang tulis, suruh dia hubungi saya.”