Pemain bola sepak import Negeri Sembilan dari Slovakia, Marian Farbak, kehilangan wang tunai RM38,000 yang disimpan di dalam keretanya, hanya 10 minit selepas dia bersama isteri dan seorang anaknya meninggalkan kenderaan itu untuk ke sebuah pasar raya di sini semalam.
Farbak, 29, berkata dia menyedari kehilangan wang itu selepas mendapati satu pintu keretanya diumpil dan beg plastik yang mengandungi wang itu dicuri dari tempat simpan barang.
"Saya sebelum itu telah mengeluarkan wang dari sebuah bank di Senawang pada pukul 1 petang," katanya di sini Khamis.
Farbak berkata wang itu untuk ditukarkan kepada mata wang Euro untuk dihantar kepada keluarganya di Slovakia.
Beliau membuat laporan di Balai Polis Rahang.
- Bernama