Responsive Advertisement

Dua lagi pemain Malaysia akan ke Portugal - Ejen

 Ejen FIFA, Marco Guimaraes yang telah membawa Nazmi Faiz ke Portugal mendedahkan bahawa terdapat lagi dua pemain dari Malaysia yang akan ke Portugal.

Guimaraes yang juga merupakan pemilik Football Management International (http://fmisport.com) di Singapura baru-baru ini telah membawa Nazmi Faiz ke Portugal untuk sesi ujian bersama kelab Liga Primeira Liga Portugal, S.C. Beira Mar di mana Nazmi telah berjaya mendapatkan kontrak selama tiga tahun di sana.

Beliau telah mendedahkan kepada ESPNSTAR.my bahawa terdapat lagi dua pemain dari Malaysia yang akan ke Portugal. Seorang pemain Harimau Muda yang kini berada di Budapest dan seorang lagi dari kelab di Liga Malaysia.

"Saya akan membawa lagi dua pemain dari Malaysia ke Portugal tetapi bukandan saya pasti mereka akan mendapatkan kontrak di sana." kata Guimaraes.

"Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Ong Kim Swee tentang salah seorang pemainnya tetapi besar kemungkinan buat masa ini kami akan menguruskan Nazmi Faiz dahulu. Pemain lagi satu yang akan saya bawa ke Portugal adalah dari salah satu kelab di Liga Malaysia."

Marco Guimaraes yang telah menubuhkan Football Management International selama lima tahun kini mempunyai 11 pemain termasuk penolong jurulatih Jose Mourinho.

Beliau juga memberitahu bahawa proses untuk membawa Nazmi dan mendapatkan kontrak di Beira-Mar hanya mengambil masa selama dua minggu.

"Pada mulanya ketika saya ingin membawa Nazmi ke Portugal, ramai yang kurang yakin. Tetapi selepas jurulatih, Ong Kim See memberi saya kebenaran, kami terus menetapkan tarikh untuk membawa Nazmi ke sana." katanya lagi.

Beliau yang sebelum ini pernah bertugas dengan kelab Portugal, Braga yakin nazmi mampu mendapatkan kontrak dengan Beira-Mar sejak dari awal lagi.

"Pada mulanya saya ingin membawanya ke Sporting Lisbon dan Benfica tetapi Nazmi hanya akan bermain dalam pasukan simpanan di sana.

"Jadi saya membuat keputusan untuk membawanya ke Beira-Mar dimana saya mengenali Pengarah Sukan kelab tersebut dan akan pastikan Nazmi beraksi dalam pasukan pertama kelab itu," tambah Guimaraes.

Beliau akui tidak mudah untuk membawa Nazmi ke Portugal dan mendapatkan kontrak di sana kerana kemampuan pemain sahaja tidak cukup jika ejen tidak mempunyai hubungan dengan pihak yang betul.

"Apa yang saya ketahui di Malaysia ramai yang sebut tentang pemain Malaysia ke Cardiff City. Tetapi selepas ujian, tiada apa yang berlaku.

"Mustahil untuk pemain Malaysia ke Cardiff kerana kedudukan Malaysia dalam ranking FIFA lebih dari 70. Jadi kita harus cari alternatif di kelab Eropah yang lain." jelasnya

Guimaraes turut mengharapkan lebih sokongan dari Football Association of Malaysia (FAM) dalam rancangan untuk membawa lebih ramai lagi pemain Malaysia ke luar negara.

"Saya percaya dengan sokongan dari FAM, ramai lagi yang mampu beraksi di pentas yang lebih besar."

Espnstar.my