Responsive Advertisement

Lagi perusuh dikenal pasti untuk dipanggil siasatan

KUALA LUMPUR - Polis mengenal pasti 42 orang awam termasuk dua wanita yang dipercayai terbabit dalam kejadian merusuh pada perhimpunan Duduk Bantah, Bersih 3.0 di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Salleh berkata, gambar itu telah dirakam oleh polis dan media pada perhimpunan itu.

Menurutnya, polis turut mendedahkan rakaman gambar yang didakwa sepasukan polis mengasari orang awam serta wartawan semasa perhimpunan itu.
“Orang ramai yang berada di tempat kejadian diharap tampil memberikan kerjasama serta bukti untuk keterangan mereka direkodkan oleh pegawai penyiasat,” katanya.

Mohamad Salleh berkata, polis juga memaparkan gambar aksi peserta merempuh kawalan polis di lokasi berhampiran Dataran Merdeka.

“Rempuhan itu menunjukkan peserta perhimpunan berhasrat menuju ke Dataran Merdeka yang dikawal oleh polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Sebelum ini, polis menyiarkan 49 gambar orang awam termasuk seorang wanita, dan sehingga semalam hanya seorang yang telah tampil untuk membantu siasatan.

Lelaki berkenaan berumur 39 tahun datang sendiri ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada jam 3 petang semalam.

Sementara itu, seorang siswa berumur 22 tahun berjanji akan serah diri bersama peguamnya esok. Diharap lebih ramai lagi tampil memberikan kerjasama. Individu berkenaan boleh hubungi pegawai Jabatan Siasatan Jenayah dan Kongsi Gelap Kuala Lumpur, Asisten Superintenden Azmi Aziz di talian 019-2602344 atau 019-3872344.

Maklumat juga boleh disalurkan menerusi emel, azmiaziz@rmp.gov.my.