Responsive Advertisement

Euro 2012 - Sepanyol mara ke separuh akhir

PENYANDANG juara Sepanyol menepati ramalan akan melangkah ke separuh akhir apabila menewaskan Perancis 2-0 dalam aksi penuh mendebarkan di Stadium Donestk, awal pagi ini (waktu Malaysia).

Kemenangan ini ternyata amat bermakna buat Sepanyol apabila semakin menghampiri untuk mencipta hatrik selepas muncul juara Euro 2008 dan Piala Dunia 2010.

Dalam aksi separuh akhir 28 Jun ini, Sepanyol akan bertemu Portugal yang telah menundukkan Republik Czech Jumaat lalu.

Dilihat ibarat 'buku dan ruas', Sepanyol dan Perancis berentap, walaupun permainan banyak dikuasai penyandang juara antara 65-55%, untuk mengisi slot ke separuh akhir Euro 2012.

Perancis meningkatkan penguasaan bola di separuh masa kedua sehingga 45 peratus.

Sepanyol menjaringkan gol pertama menerusi Xabi Alonso - membolehkannya mendahului Perancis sebelum menambah gol pada minit terakhir permainan menerusi penalti.

Pada babak awal perlawanan, kedua-dua Sepanyol dan Perancis menampilkan permainan yang berhati-hati dan seimbang.
Bagaimanapun, Sepanyol mula menemui rentak di tengah babak perlawanan apabila mula bermain agresif dengan menampilkan serangan-serangan berbahaya ke gawang Perancis.

Asakan demi asakan akhirnya menewaskan pertahanan Perancis. Tandukan menerusi Alonso pada minit ke-19 berjaya membolosi gawang lawan untuk mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, Perancis dilihat mula mengatur serangan untuk mencari gol namun tidak mendatangkan hasil apabila setiap percubaan dilakukan tersasar.

Pertahanan yang kental dilakukan oleh Sepanyol nyata mengecewakan Perancis yang semakin terdesak untuk menjaringkan gol.

Alonso sekali lagi menjadi wira Sepanyol apabila berjaya menjaringkan gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit-minit terakhir perlawanan.

Jaringan itu sekali gus ini membolehkan anak didik Vicente Del Bosque menamatkan saingan suku akhir dengan penuh bergaya.

Sebaliknya, kegagalan ini terus menghantui Perancis untuk mara ke separuh akhir apabila terus gagal di peringkat suku akhir buat kali kelima dalam lima edisi Euro yang lalu.