Responsive Advertisement

Olimpik 2012: [Sprint] Azizulhasni Awang layak ke suku akhir

LONDON: Azizulhasni Awang yang terpaksa menggunakan 'pintu belakang' untuk mara ke suku akhir bakal berdepan tugasan menggunung apabila dipadankan dengan pelumba tuan rumah, Jason Kenny, hari ini.

Laluan Azizulhasni untuk layak ke separuh akhir pasti sukar kerana pelumba Great Britain itu menunjukkan aksi luar biasa apabila memecahkan rekod Olimpik ketika beraksi di pusingan kelayakan, semalam.

Kenny, 24, yang dipilih untuk menggantikan tempat juara Olimipk 2008 dalam acara ini, Chris Hoy kerana satu negara hanya dibenarkan menurunkan satu pelumba, mencatat 9.713 saat. Catatan Kenny itu, yang berusia 20 tahun ketika memenangi perak acara berkenaan di Beijing, memperbaiki masa 9.815s yang dibuat Hoy dalam laluannya meraih pingat emas.

Azizulhasni yang gagal mara secara automatik selepas tewas pusingan kedua kepada Denis Dmitriev dari Russia dengan catatan 10.27s, terpaksa turun bersaing dalam acara repechage bersama dua lagi pelumba dalam Saringan 2.

Dia kemudian memenangi saringannya itu dengan menewaskan pelumba Jepun, Seiichifro Nakagawa dan Hersony Canelon dari Venezuela dengan catatan 10.456s.

Saringan 1 dimenangi pelumba Jerman, Robert Forstemann yang akan menyertai Azizulhasni dan enam lagi pelumba yang layak secara automatik di suku akhir.

Selain daripada Azizulhasni, Forstemann dan Dmitriev, tiga lagi pelumba yang mara membabitkan Gregory Bauge dari Perancis, Shane Perkins (Australia), Jimmy Watkins (Amerika Syarikat) dan Nicholas Njisane Phillip (Trinidad & Tobago).

Terdahulu, pada sebelah pagi, pelumba kelahiran Terengganu itu mudah menewaskan Miao Zhang dari China untuk mara secara terus ke pusingan kedua. Di pusingan itu dia mencatatkan 10.473s.

Azizulhasni akan turut beraksi dalam acara keirin yang akan berlangsung pada Selasa ini.