Responsive Advertisement

Paralimpik London 2012: Malaysia capai sasaran

LONDON - Pencapaian atlet elit paralimpik negara pada temasya Sukan Paralimpik ke-14 di sini adalah yang terbaik dan telah melepasi sasaran memperbaiki pencapaian di Beijing, China, empat tahun lepas.

Ketua kontinjen negara Datuk Seri Zolkples Embong berkata pencapaian atlet di sini adalah hasil program latihan lebih sistematik selepas Majlis Sukan Negara (MSN) mengambilalih program pembangunan atlet elit berkenaan pada 2007.

Kontinjen negara seramai 23 atlet membawa pulang sebutir pingat perak dan satu gangsa, masing-masing menerusi pemanah Hasihin Sanawi dan Muhammad Ziyad dalam acara melontar peluru.

Pada Sukan Paralimpik 2008 di Bejing, Malaysia hanya memperoleh sebutir gangsa menerusi atlet wanita Siow Lee Chan dalam dalam acara powerlifting 56kg.

Zolkples, yang juga Ketua Pengarah MSN, berkata program latihan untuk atlet paralimpik akan terus dipertingkatkan bagi menghadapi temasya Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, dan seterusnya Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

"Antara program yang akan dijalankan secara besar-besaran ialah mencari bakat baharu yang berusia muda. Jika kita mempunyai ramai atlet pelapis muda, ia akan memudahkan kita membentuk mereka.

"Selain itu, dengan adanya pusat latihan khusus untuk atlet elit paralimpik di Kampung Pandan, Kuala Lumpur, ia akan dapat membantu melaksanakan program yang dirancang dengan lebih berkesan," katanya.

Dalam usaha pencarian atlet pelapis paralimpik negara, Zolkples berharap dengan adanya pendedahan melalui media, ibu bapa yang mempunyai anak kelainan upaya dapat membuka mata bahawa dengan menyertai sukan juga boleh memberi kejayaan.

"MSN sentiasa mengalu-alukan ibu bapa yang mempunyai anak kelainan upaya supaya membawa anak-anak mereka menceburkan diri dalam sukan," katanya.

Menurut Zolkples beliau juga ada berbincang dengan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli Mohd Zin untuk membawa anggota tentera yang mengalami kecacatan akibat kemalangan untuk bergiat dalam sukan.

"Kita mengambil contoh Great Britain dan Iraq, kebanyakan atlet paralimpik mereka adalah terdiri daripada anggota tentera yang menjadi cacat akibat kemalangan atau cedera semasa perang," katanya.

Beliau turut berharap dengan perkembangan positif atlet paralimpik negara di Sukan Paralimpik London akan membuka mata pihak syarikat swasta untuk menaja mereka baik dari segi kewangan mahupun peralatan. - Bernama