Responsive Advertisement

Harimau Malaya kecundang lagi di China

SAFIQ Rahim menjaringkan gol tunggal Malaysia menentang UAE dalam aksi persahabatan yang menyaksikan skuad negara tewas 1-3 di Shenzen, semalam.
KUALA LUMPUR - Kemarau kemenangan mahupun seri di gelanggang lawan terus berpanjangan buat skuad negara apabila tewas 1-3 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa di Shenzhen, semalam.

Hanya jaringan tunggal daripada rembatan ketua pasukan, Safiq Rahim dari luar petak penalti menjadi sagu hati penawar buat Malaysia yang ketinggalan tiga gol dalam babak pertama di Stadium Universiade itu.

Sejak dikalahkan Iraq 0-3 pada persahabatan, 1 Februari lalu, Harimau Malaya terus kecundang kepada lawan yang ditemuinya termasuk apabila menentang kelab Australia dan Jepun (Jun dan Julai lalu).

Namun, skuad negara masih boleh menghela nafas lega kerana aksi dengan UAE itu disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai bukan yang bertaraf A antarabangsa dan tidak mempengaruhi ranking dunia.

Pada persahabatan terakhir 10 September lalu di Tianjin, anak-anak buah Datuk K. Rajagobal itu dibenam China 2-0.

Malaysia menjadikan UAE sebagai 'pemanas badan' menjelang menentang Bahrain dalam perlawanan ketiganya bagi kempen Kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

Skuad negara berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan mengutip tiga mata pada 22 Mac lalu setelah menewaskan Yemen 2-1 di Shah Alam.

Namun, mereka bermula dengan hambar apabila dikalahkan Qatar 2-0 di Doha, 6 Februari lalu.