Responsive Advertisement

Harimau Muda dibelasah 0-5

NAMPAK gayanya kekalahan 0-5 di tangan skuad bawah 23 tahun (B-22) Jordan, awal pagi semalam jelas memberikan maksud tersirat kepada pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee.

Ini kerana Kim Swee mengakui fokus anak-anak buahnya dilihat sedikit terjejas dan ia menjadi antara salah satu punca kekalahan pada aksi persahabatan tersebut.

Sebelum ini, jurulatih kelahiran Melaka itu pernah menyaksikan skuad kendaliannya tewas 1-3 kepada skuad B-22 Jordan pada Selasa lalu.

Begitupun, skrip yang sama berulang apabila skuad harapan negara diaibkan dengan kekalahan besar di tangan pasukan muda Jordan itu dalam aksi persahabatan kedua.

Kini, Kim Swee menyifatkan fokus barisan pemainnya dilihat sedikit terganggu dan mungkin disebabkan kebanyakan pemainnya mula menjadi buruan pasukan-pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan.

"Sesetengah pemain tidak menunjukkan komitmen yang baik. Ini satu sikap yang amat mengecewakan dan saya percaya ini satu pengajaran yang cukup berguna. Saya akan pastikan pemain yang tidak komited tidak akan bersama skuad ini ke Sukan SEA nanti.

"Saya kecewa kerana kesilapan pada perlawanan pertama berulang untuk aksi persahabatan kedua ini. Banyak perkara yang perlu dipertingkatkan terutamanya sikap pemain yang mengambil mudah setiap insiden yang berlaku dalam perlawanan.

"Tempoh 25 hari sebelum ke Sukan SEA 2013 adalah masa yang paling mustahak buat pemain," katanya.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memberikan peluang kepada enam pemain Harimau Muda A untuk mempertimbangkan masa depannya bersama pasukan baharu pada akhir bulan lalu.

Langkah itu adalah untuk mengelakkan fokus barisan pemain terganggu, lebih-lebih lagi mereka kini menjadi buruan pasukan mahu pun kelab yang menjanjikan habuan lumayan.

Justeru, mereka telah diberikan kelonggaran untuk berbincang dengan mana-mana pasukan sehingga akhir Oktober lalu.

Pemain yang dimaksudkan termasuk Irfan Fazail, Izham Tarmizi Roslan dan Mohd. Fadhli Shas yang telah memilih Johor Darul Takzim manakala Ahmad Hazwan Bakri dan A. Thamil Arasu memilih Selangor selain Wan Zaharulnizam Wan Zakaria akan bersama Kelantan pada musim depan.