Responsive Advertisement

Piala BIDC: Harimau Muda A kecundang 1-0

KUALA LUMPUR - Hasrat skuad Harimau Muda A (bawah 23 tahun) untuk melangkah ke final Kejohanan Jemputan Piala BIDC di Kemboja tidak kesampaian apabila kalah 1-0 kepada Myanmar pada saingan separuh akhir hari ini.

Thura Aung menjaringkan gol tunggal Myanmar pada minit ke-20 pada perrlawanan yang berlangsung di Stadium Olimpik di Phnom Penh.

Kemenangan tersebut membolehkan pasukan berkenaan membuat perhitungan menentang Thailand pada aksi final selepas skuad Gajah Perang muda itu menundukkan Kemboja 2-1 pada satu lagi aksi separuh akhir yang berlarutan sehingga masa tambahan.

Pada perlawanan yang disiarkan secara langsung oleh televisyen berbayar Astro Arena itu, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dan pasukan lawan mempamerkan permainan seimbang dan berusaha menembusi lawan masing-masing.

Kesilapan komunikasi antara pertahanan negara dengan penjaga gol, Mohd Izham Tarmizi Roslan nyata membawa padah apabila Thura Aung bijak menyambar bola sebelum mudah menolak masuk bagi memberikan gol pendahuluan kepada Myanmar.

Bersambung babak kedua, skuad muda negara terus menyerang kubu pasukan Myanmar namun gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan pasukan lawan.

Myanmar ditimpa malang pada minit ke-51 selepas Chit Min Soe diperintahkan keluar padang oleh pengadil kerana melakukan kekasaran ke atas pemain negara.

Bagaimanapun, situasi itu gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak didik Kim Swee.

Skuad negara akan mengadakan dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pasukan Jordan bawah 23 tahun di Amman, Jordan pada 12 dan 14 Nov ini.

Dua perlawanan tersebut akan menjadi medan terakhir skuad Harimau Muda A sebelum berdepan misi getir bagi mempertahankan pingat emas pada acara bola sepak Sukan SEA Myanmar yang bakal berlangsung dari 1-21 Dis ini. - Bernama