Responsive Advertisement

Steve Darby ganti Hodak latih Kelantan

Kuala Lumpur: Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa mengumumkan Steve Darby sebagai pengganti Bojan Hodak bagi mengendalikan The Red Warriors (TRW) bermula musim depan untuk tempoh dua tahun.

Menurut Annuar menerusi akaun Facebook miliknya, bekas pengendali Perak dan Johor kelahiran England itu bersetuju menandatangani kontrak dua tahun bersama TRW dan bakal memulakan tugas pada 15 November ini dengan barisan TRW untuk musim depan akan diumumkan selepas itu.

“KPI tercapai namun sedih kalah sedemikian (tewas kepada Pahang pada final Piala Malaysia malam kelmarin). Terima kasih kepada Bojan (Hodak) atas khidmat beliau dan menghormati hasratnya mahu berubah angin dan saya memahaminya,” kata Annuar semalam.
Annuar turut melahirkan rasa terkejut apabila tiba-tiba terdapat pemain tempatan menuntut kenaikan gaji lebih tinggi daripada pemain import.

“Namun KAFA perlu diurus secara berhemah mengikut keupayaan. Pemain (tempatan atau import) yang menuntut gaji terlalu tinggi dan di luar kemampuan terpaksa digugurkan dan TRW akan diurus berdasarkan kemampuan.”