Responsive Advertisement

Gelatin Babi: Perlu tunggu keputusan J'kuasa Fatwa Kebangsaan

SHAH ALAM : Para pengguna di negara ini terutamanya yang beragama Islam dinasihatkan menunggu keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan berhubung status halal dua produk coklat Cadbury yang telah mencetuskan kontroversi penggunaan gelatin babi di dalam produknya baru-baru ini.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman berkata demikian ketika diminta mengulas pendapat dari ulama tersohor dunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi berkenaan kekeliruan pengguna Islam apabila sesuatu makanan itu telah dicampuri unsur yang haram.

"Kita tidak boleh nafikan pandangan beliau, ijtihad beliau. Kita tidak kata ia tidak betul. Tapi kita kena merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan di peringkat negeri.

"Hal ini masih belum diputuskan oleh Fatwa Kebangsaan. Kita kena ikut fatwa dari negara kita. Setakat ini Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan belum bersetuju dengan pandangan itu, melalui apa yang saya difahamkan. Sebabnya kita ada pilihan yang lain, kecuali darurat dan tiada jalan lain," katanya kepada Antarapos hari ini.

Semalam portal ini menyiarkan pandangan Yusuf Al-Qardhawi yang memberitahu gelatin haiwan termasuk babi adalah halal untuk digunakan, termasuk di dalam produk makanan setelah ia ditransformasikan menjadi bahan yang lain.

Dipetik melalui kenyaan rasmi ulama tersebut, hukum berkenaan adalah bergantung kepada 'illah' (sebab).

"Para fuqaha' berkata, contohnya, sesuatu perkara seperti tinja dan sebagainya, apabila ia diambil dan dikenakan api serta dinyalakan, maka abunya adalah halal kerana ia telah menjadi bahan yang lain. Mereka berkata: Jika seekor anjing masuk ke dalam takung garam dan mati di dalam takung garam itu hingga garam memusnahkannya, hinggakan apabila kamu mencarinya kamu tidak menjumpainya disebabkan anjing itu sendiri telah menjadi garam, maka garam itu boleh digunakan untuk makan, minum dan segala-galanya, kerana ia telah mengalami transformasi bahan.

"Hukum ditetapkan bergantung kepada `illah (sebab) yang ada dan yang tiada. Maka `illah dalam hal ini ialah ia tidak kembali wujud. Oleh itu, apabila daging atau tulang babi telah bertransformasi, - dan saya mendengar daripada saudara kami Dr. Muhammad Hiwari, dan dia adalah antara doktor akademik yang tinggal di German untuk tempoh yang sangat panjang, dan dia mempunyai kajian yang sangat baik dalam hal ini, - dia berkata kepada kamu: Kemuncak hal ini adalah, ia boleh diambil dan digunakan sebagai ubat gigi, dan digunakan sebagai sabun, dan digunakan sebagai gelatin (atau jeli) yang asalnya ialah babi, kerana ia telah menjadi sebatian kimia yang baru menyebabkannya tertakluk kepada hukum yang baru (iaitu halal)," ujar Yusuf Al- Qardhawi dipetik sebagai berkata.

Meskipun begitu, Abdul Rahman menggesa pengguna Islam di negara ini menjauhi sesuatu perkara yang boleh mendatangkan keraguan, kerana dikhuatiri tidak halal.

"Di dalam hadis Rasulullah SAW, jelas maksud halal dan haram. Tetapi di antara kedua-duanya ada perkara yang samar. Yang ini Rasulullah menyuruh kita menjauhinya sebab ia boleh membawa hukum haram.

"Jika nak membeli sesuatu, kita kena pasti ia halal atau haram. Kalau haram, kita tinggalkan. Jika samar-samar juga kita tinggalkan sebab ia boleh menjadi haram. Itu kaedah yang jelas dalam agama kita," ujar beliau.

Bulan lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan dakwaan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengatakan dua produk coklat Cadbury - coklat susu dengan kacang Hazel serta coklat susu dengan badam, dikesan mengandungi DNA babi atau 'porcine'.

Apa yang menjadi persoalan sehingga kini adalah KKM dikatakan membuat ujikaji itu, sehingga terjumpa DNA babi, setelah memilih coklat berkenaan secara rawak di pasaran.

Setelah isu itu mencetuskan kemarahan ramai pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) pula memainkan peranannya dan membuat ujikaji yang sama namun coklat itu diambil terus dari kilang Cadbury dan bukannya diambil secara rawak dari pasaran, seperti mana dibuat KKM.

Walaupun perkembangan terbaru selepas ujikaji yang dilakukan oleh Jakim itu mengesahkan dua produk Cadbury tersebut adalah tiada unsur babi sekaligus halal untuk dimakan, namun golongan pengguna Islam di negara ini dilaporkan masih berasa was-was.