Responsive Advertisement

Piala Dunia: Belgium bernam Korea Selatan juarai kumpulan H

KOREA SELATAN 0

BELGIUM 1
(Jan Vertonghen,m-78)

SAO PAULO: Korea Selatan yang juga wakil terakhir Asia di Piala Dunia, tersingkir apabila tewas 1-0 kepada Belgium pada perlawanan terakhir Kumpulan H sekalipun memiliki kelebihan beraksi lebih seorang pemain sepanjang babak kedua.

Ketika perlawanan tampak seimbang pada babak pertama, suasana perlawanan yang dijangka berubah selepas pemain Belgium, Steven Defour menerima kad merah seminit sebelum babak pertama tamat tidak menjadi kenyataan.

Belgium akan bertemu Amerika Syarikat di pusingan kedua.
Setiap serangan Korea gagal menggugat penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois dan kerap tersekat di bahagian pertahanan diketuai kapten, Jan Vertonghen.

Peluang terbaik Korea hadir pada minit ke-58 namun cubaan jarak jauh Son Heung-Min sekadar menggegar palang diikuti cubaan Ki Sung-Yueng yang kemas ditangkap Courtois.

Dan menerusi satu serangan balas pantas, Belgium berjaya meraih gol kemenangan menerusi Vertonghen yang mudah menampan masuk gol selepas rembatan Divock Origi ditepis penjaga gol Korea, Kim Seung-Gyu tepat ke kakinya pada minit ke-78.

Korea yang semakin terdesak dengan jaringan itu terus buntu malah penyerang berbisa Belgium, Eden Hazard yang masuk selaku pemain gantian hampir menambah gol kedua pada minit ke-89 namun gagal.

Penyingkiran Korea menyaksikan tiada wakil Asia di pusingan kedua selepas Australia, Jepun dan Iran juga tersingkir di peringkat kumpulan. - Agensi