Responsive Advertisement

Piala Dunia: (Kumpulan F) Argentina bangkit tundukkan Bosnia

RIO DE JANEIRO: Jaringan terpantas hasil gol sendiri di Piala Dunia dan jaringan menakjubkan daripada Lionel Messi membantu Argentina mengatasi Bosnia Herzegovina 2-1 dalam saingan Kumpulan F di Stadium Maracana di sini, awal pagi ini.

Kemunculan pertama Bosnia dalam kejohanan utama bermula hambar apabila pemain pertahanan, Sead Kolasinac bersalah menyepak bola masuk ke dalam gawang sendiri pada minit ketiga tetapi Argentina - pasukan pilihan untuk menjuarai kumpulan yang turut membabitkan Nigeria dan Iran jelas bergelut mencari rentak pada satu tempoh yang panjang.

Messi tampak ‘hilang dalam permainan’ sehingga pada minit ke-65 apabila bintang Barcelona itu yang menerima umpanan Gonzalo Higuain membuat larian solo yang cantik menewaskan sekurang-kurangnya tiga pemain lawan sebelum melepaskan ledakan padu untuk gol kedua.

Bosnia tampak seperti sudah mahu menyerah mudah tapi berjaya merapatkan jurang dengan gol pada minit ke-84 menerusi Vedad Ibisevic yang mencetus rasa gelisah Argentina pada beberapa minit terakhir permainan.