Responsive Advertisement

Terbuka Jepun: Chong Wei lega, Lin Dan hampa

Kuala Lumpur: Pertemuan sulung antara Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan tahun ini tidak menjadi kenyataan apabila kedua-duanya mengalami nasib berbeza di pusingan suku Siri Super Terbuka Jepun 2014 semalam.

Chong Wei yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan terpaksa berhempas pulas semalam sebelum menewaskan pemain Indonesia, Tommy Sugiarto 21-15, 12-21, 21-17.

Lin Dan yang beraksi dari peringkat kelayakan ditunjukkan jalan keluar oleh pemain Denmark, Jan O Jorgensen selepas tewas 19-21, 21-13, 16-21.

Turut mengalami nasib sama seorang lagi pemain China, Chen Long apabila tewas mengejut di tangan pemain Hong Kong, Hu Yun 21-18, 19-21 15-21. Menanti Chong Wei di separuh akhir hari ini pemain Jepun, Kenichi Tago yang menewaskan wakil Denmark, Hans-Kristian Vittinghus 21-16, 16-21, 21-13.

Pasangan beregu lelaki negara, Hoon Thien How-Tan Weei Kiong yang juga pilihan ketujuh terkandas apabila kalah kepada gandingan nombor satu dunia dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 16-21, 19-21.

Menurut jurulatih perseorangan negara Tey Seu Bock, walaupun Chong Wei berjaya mencatat kemenangan, fokus pemain nombor satu dunia itu sedikit terganggu hingga mengheret perlawanan ke rubber set.

“Bukan mudah buatnya untuk bermain dengan pergerakan bulu tangkis yang perlahan, seterusnya menghasilkan banyak permainan rali antara kedua-dua pemain,” katanya.

Bagaimanapun, di set penentuan Chong Wei berjaya fokus semula terutama ketika di mata ke-11 dan tidak menoleh ke belakang untuk menempah tempat ke separuh akhir.

“Dia memang melakukan banyak kesilapan terutama di set kedua dan saya lihat keyakinannya juga seolah-olah hilang hingga membenarkan lawan mengatasinya,” kata Seu Bock.