Responsive Advertisement

Piala Dunia: Bekas pemain, jurulatih terkejut nasib Brazil

WAJAH-wajah penyokong Brazil yang tidak dapat menahan kesedihan berikutan pasukan mereka dikejutkan Jerman dengan jaringan besar, 7-1 pada perlawanan separuh akhir Piala Dunia di Estadio Mineirao, awal pagi tadi. - Foto AFP
RIO DE JANEIRO: Kekalahan besar Brazil kepada Jerman dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia turut mengundang pelbagai reaksi dari bekas pemain antarabangsa atau jurulatih secara global.

Rata-rata mereka menyuarakan rasa terkejut dengan nasib malang yang menimpa skuad pimpinan Luiz Felipe Scolari di halaman sendiri, awal pagi tadi. Ikutilah firasat mereka mengenai kemenangan 7-1 dirakamkan Jerman untuk layak ke final kali ini.

Juninho Paulista (bekas pemain tengah Brazil)
“Pasti sukar untuk pulih. Beberapa pemain saya tidak fikir akan kembali menyarung jersi Brazil. Salah untuk mengkritik pemain ketika ini. Di atas padang, Jerman mengajar kami bagaimana bermain bola. Kami perlu belajar daripada perkara itu.”


Gary Lineker (bekas penyerang England)

“Sepanjang setengah abad menyaksikan bola sepak, ini adalah paling luar biasa, mengejutkan dan permainan membingungkan yang pernah saya saksikan.”

Alejandro Sabella (jurulatih Argentina)
“Tujuh-satu bukanlah keputusan yang normal di antara dua kuasa besar bola sepak dunia. Namun bola sepak boleh menjadi seperti itu. Kadang-kala perkara yang anda tidak jangkakan boleh berlaku dan kerana itulah ia menarik.”

Bixente Lizarazu (bekas pertahanan Perancis)
“Ia memalukan, kekalahan yang amat buruk. Saya tidak mahu begitu keras kerana kami juga menderita. Piala Dunia mereka sudah berakhir.”

Dietmar Hamann (bekas pemain tengah Jerman)
“Aksi kelas dunia oleh Jerman. Klinikal, teratur, kerja keras, tidak tamak dan amat merendah diri. Amat bangga dengan pasukan. Satu lagi sahaja.”

Rio Ferdinand (bekas pertahanan England)
“Saya berasa agak bimbang yang pemain Brazil mungkin tidak mampu untuk pulih daripada kekalahan ini.”

Sumber - AFP