Responsive Advertisement

Ketua Penerangan Pemuda Pas, ibu maut kemalangan

KUALA KRAI - Ketua Penerangan Pemuda Pas Negeri Sembilan dan ibunya maut apabila kenderaan jenis MPV dinaiki terlibat kemalangan dengan bas ekspress di kilometer 106.5 Jalan Kota Bharu Gua Musang kira-kira jam 4.30 pagi tadi.

Mangsa, Safrizal Tarmizan, 31, dan ibunya, Asmita Lukman, 56, maut di tempat kejadian sementara isterinya, Nurul Izatil Aqmar Mat Lazim, 28, dirawat di Hospital Kuala Krai.

Anak tunggal mangsa, Uma Al Fateh Safrizal, 3, dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian dan anak saudara perempuan mangsa berusia sekitar enam tahun cedera ringan.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke Seremban setelah pulang ke rumah mertuanya Khamis lalu untuk mengambil isteri dan anaknya yang balik ke kampung dengan kapal terbang sempena cuti sekolah pada hari Isnin.