Responsive Advertisement

9 persoalan mengenai GST yang anda perlu faham sebelum 1 April 2015

1. APAKAH jenis penipuan yang dilakukan peniaga dapat dikesan melalui operasi membanteras pencatutan sehingga Februari 2015?

Kes-kes yang dihasilkan sehingga 26 Mac 2015 adalah sebanyak 1,688 kes di bawah kesalahan tidak meletakkan tanda harga atau senarai harga bagi barangan yang dijual, kesalahan di bawah pelabelan barangan tersedia bungkus 4 kes, 53 kes di bawah kesalahan gagal menggunakan tanda khas (merah jambu), 4 kes di bawah kesalahan menjual melebihi harga maksimum), 1 kes telah dihasilkan di bawah kesalahan Seksyen 14(1) mencatut dalam menjual atau membekalkan barangan dan perkhidmatan, dan juga 5 kes telah dihasilkan di bawah kesalahan Seksyen 21(5) kerana enggan memberi maklumat. Sejumlah 999 kes di bawah kesalahan gagal menentusah alat timbang dan sukat yang digunakan untuk perniagaan, 18 kes di bawah kesalahan Akta Perihal Dagangan 2011 dan 19 kes di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

2. Berapakah nilai rampasan yang dilakukan? Apakah denda dikenakan kepada mereka yang melakukan kesalahan dibawah Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011?

Ops Catut telah dilancarkan pada 14 Januari 2015 dan telah menghasilkan prestasi pencapaian yang positif. Berikut adalah hasil tindakan pemeriksaan dan penguatkuasaan hingga 26 Mac 2015. Sebanyak 563,000 pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh negara ke atas semua peringkat perniagaan. Tindakan kes yang telah diambil adalah sebanyak 2,791 kes dengan jumlah rampasan bernilai RM473,673.40 dan keseluruhan nilai kompaun dikenakan sebanyak RM322,366.00.

3. Ada segelintir peniaga mengiklankan harga barangan mereka menggunakan poster besar sebelum GST dilaksanakan berkuatkuasa 1 April nanti. Adakah itu satu kesalahan kerana cuba mengelirukan dan menakutkan pengguna?

Adalah menjadi satu kesalahan jika peniaga melakukan Jualan Pra-GST (Pre-GST Sale) dan lain-lain gimik untuk menarik pelanggan dengan memberikan masej bahawa harga akan lebih tinggi selepas pelaksanaan GST. Tindakan boleh diambil dibawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna kerana memberi gambaran palsu atau mengelirukan mengenai harga kos sebenar atau harga barang selepas GST.

4. Boleh jelaskan dengan lebih lanjut mengenai Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011?

Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 merupakan suatu Akta yang berkuatkuasa terhadap kawalan harga barang dan caj bagi perkhidmatan serta mengawal aktiviti mencatut atau pengambilan keuntungan tinggi yang tidak munasabah dikalangan peniaga yang tidak bertangungjawab.

Penalti: Sesiapa yang didapati menjalankan aktiviti mencatut atau membuat keuntungan tinggi yang tidak munasabah dalam menjual atau membekal barangan.

- Kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Denda maksimum :

*Orang perseorangan.
*Kesalahan pertama RM100,000 atau tiga tahun penjara .
*Kesalahan kedua atau berikutnya RM250,000 atau lima tahun penjara.
*Pertubuhan Perbadanan / Syarikat.
*Kesalahan pertama RM 500,000
*Kesalahan kedua atau berikutnya RM 1 juta.

5. Boleh jelaskan fokus antara Kastam dan KPDNKK kerana ramai masih keliru dengan fokus dengan dua agensi ini?

KDPNKK
*Memastikan tidak berlaku kenaikan harga untuk barangan & caj untuk perkhidmatan secara tidak terkawal oleh peniaga disebabkan oleh pelaksanaan GST.
*Menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 untuk mengawal aktiviti pencatutan
*Membendung manipulasi harga oleh perniagaan
*Penguatkuasaan merangkumi semua jenis dan semua peringkat perniagaan

Kastam
Mengutip hasil cukai kepenggunaan dalam bentuk cukai atas nilai tambah (GST) menguatkuasakan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 melibatkan perniagaan yang berdaftar di bawah sistem GST

Bagaimanakah bentuk mekanisma pelaksanaan atau operasi? Adakah menguatkuasakan operasi atau menggunakan tenaga kerja. Difahamkan KPDNKK melantik 472 pegawai untuk menjalankan operasi Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011?

Pihak Kementerian telah memperkasakan tindakan penguatkuasaan melalui pelaksanaan Ops Catut yang bermula pada 14 Januari 2015 meliputi rantaian pengedaran barangan dan perkhidmatan keseluruhan peringkat perniagaan seperti pengeluar, pengilang, pembekal, pengedar, pengimport, pemborong dan peruncit bagi memastikan tiada berlakunya pencatutan untuk mengaut keuntungan tinggi yang tidak munasabah dengan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan caj bagi perkhidmatan di pasaran. Selaras dengan pelaksanaan GST, Kerajaan telah meluluskan sebanyak 472 perjawatan untuk kementerian ini bagi mengukuhkan keberkesanan penguatkuasaan di seluruh negara. Pada masa yang sama, Kementerian telah mewujudkan Unit Antipencatutan yang akan memberi fokus kepada penyiasatan aktiviti pencatutan oleh peniaga. Pegawai-pegawai penguatkuasa Kementerian telah diberi latihan secara berperingkat bagi kemahiran tindakan siasatan ke atas pencatutan bersabit dengan GST.

6. Apakah isu utama yang dilihat penguatkuasaan sebelum pelaksanaan GST? Adakah masih ramai peniaga, pengilang dan peruncit tidak memahami GST?

Isu penguatkuasaan sebelum pelaksanaan GST adalah untuk memastikan peniaga-peniaga tidak mengambil kesempatan menggunakan alasan GST untuk menaikkan harga barang. Dalam hubungan ini, Kementerian telah melaksanakan program-program advokasi untuk memberi penerangan kepada peniaga berhubung dengan peruntukan pencatutan dibawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 supaya tahap pematuhan undang-undang dapat dipertingkatkan. KPDNKK telah melaksanakan advokasi peniaga bersama dengan pihak Jabatan Kastam melalui program-program kesedaran GST. Sepanjang tahun 2014 sebanyak 302 program dilaksanakan merangkumi sebanyak 124 program bersama peniaga manakala 178 program bersama pengguna. Pada masa yang sama Kementerian juga telah mengadakan engagement dengan persatuan perniagaan, pengeluar, pembekal, pemborong, pengimport dan pengusaha perkhidmatan untuk mendapatkan komitmen daripada pihak industri dan peniaga untuk menurunkan harga barangan dan caj bagi perkhidmatan berikutan dengan penurunan harga bahan petroleum di pasaran. Ia bertujuan memastikan impak pelaksanaan GST dapat memberi kesan yang positif kepada pengguna harga barangan secara tidak langsung akan membolehkan pengguna mendapatkan harga barangan dan caj bagi perkhidmatan yang lebih rendah di pasaran.

7. Apakah usaha yang dilakukan KPDNKK untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat terutamanya penduduk di luar bandar dan pedalaman. Mungkin mereka kurang menggunakan akses internet untuk mendapatkan maklumat mengenai GST?

Pelaksanaan program kesedaran pengguna adalah satu usaha yang berterusan oleh KPDNKK bagi memberi kesedaran kepada pengguna berhubung hak-hak mereka. Mesej-mesej berkaitan pelaksanaan GST oleh kerajaan turut juga disampaikan melalui program-program anjuran KPDNKK dalam menentukan pengguna di luar bandar dan pedalaman mendapat maklumat dan kefahaman berhubung dengan GST.

8. Bagaimana pula dengan industri perhotelan. Ia memberikan perkhidmatan kepada pelanggan?

Industri perhotelan turut juga tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dari aspek penguatkuasaan pencatutan.

9. Apakah cabaran yang dihadapi KPDNKK? Apakah saranan KPDNKK kepada rakyat atau pengguna?

Antara cabaran yang dihadapi oleh KPDNKK adalah menguatkuasakan undang-undang dan peraturan antipencatutan bagi memastikan:

*Peniaga tidak menggunakan GST sebagai alasan menaikkan harga untuk mengambil keuntungan berlebihan yang tidak munasabah.
*Pengguna tidak didedahkan kepada kenaikan harga yang tidak munasabah atas perlakuan peniaga yang tidak bertangungjawab.
*Pengguna menerima faedah daripada pengurangan kadar cukai dengan sepenuhnya melalui penurunan harga barangan.
*Perubahan harga barang berlaku sejajar dengan perubahan kadar cukai dari SST kepada GST.
*Peningkatan harga sekiranya berlaku hendaklah sejajar dengan kadar cukai.

Sebagai pengguna adalah wajar disarankan agar menjadi pengguna yang bijak dan mengetahui hak-hak sebagai pengguna:

*Pengguna berhak diberitahu fakta-fakta diperlukan bagi membolehkan mereka membuat pilihan tepat dan dilindungi daripada pengiklanan serta pelabelan yang tidak jujur atau mengelirukan.
*Pengguna berhak memilih daripada pelbagai barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan pada harga yang kompetitif dan jaminan kualiti yang memuaskan.
*Pengguna berhak bersuara bagi memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan sewajarnya dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar kerajaan, serta dalam pembangunan barangan dan perkhidmatan oleh pengeluar.
*Pengguna berhak mendapat penyelesaian adil termasuk pampasan bagi pembelian barangan yang mempunyai perihal dagangan yang mengelirukan, kurang bermutu atau tidak memuaskan.