Responsive Advertisement

Amaran DAP, PAS bakal hilang sokongan Melayu di Johor

Memutuskan hubungan dengan DAP untuk bekerjasama dengan Umno bagi memastikan hudud dapat dilaksanakan, PAS menghadapi risiko kehilangan sokongan, terutama di kalangan golongan pertengahan Melayu dan mereka yang mempunyai sentimen anti-Umno, kata DAP Johor.

Pengerusinya Liew Chin Tong berkata, usul yang dibawa tanpa bahas dalam muktamar parti Islam itu minggu ini menetapkan penjajaran semula (realignment) politik Malaysia di luar dinamika PAS.

Beliau juga mendakwa, PAS tidak mengambil berat usaha pembangkang memenangi kuasa persekutuan kerana golongan konservatif dalam parti Islam itu bersedia menerima pemerintahan berterusan Umno.

Ini bertentangan dengan sebelum ini, kata Liew, apabila golongan progresif membentuk kuasa yang kuat dalam PAS selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998, dan bercita-cita mengalahkan Umno.
"Sesuatu yang realistik ialah PAS dijangka tidak akan memenangi cukup kerusi bagi membentuk kerajaan persekutuan dengan sendiri.

"Oleh itu, kerjasama dengan DAP melalui platform dasar bersama, berdasarkan permuafakatan, dianggap pilihan yang pragmatik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tetapi dengan kekalahan puak progresif dalam PAS dan wujudnya usul Dewan Ulama memutuskan hubungan dengan DAP, senario baru timbul, katanya.

Ahli Parlimen Kluang itu berkata, ini termasuk rasa tidak puas hati banyak pihak terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan Umno yang semakin menebal akibat dasar ekonomi perdana menteri itu, termasuk pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta skandal melibatkan dana pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ini, katanya, membentuk potensi tsunami Melayu.

Di samping itu, Liew berkata, Sabah dan Sarawak juga kecewa dengan pengabaian jangka panjang Putrajaya dan berhati-hati dengan ekstremis Islam, yang mencetuskan sentimen anti-persekutuan dan anti-Umno.

"Pendirian keras mengenai pelbagai isu berkaitan Islam yang diambil golongan konservatif PAS akan bermakna pengundi di Sabah, Sarawak dan bukan Islam tidak lagi mempercayai mereka yang berkeras dalam parti itu," katanya.

Beliau berkata, golongan konservatif dalam PAS yang menyokong hubungan lebih rapat dengan Umno ketika sentimen anti-Najib dan anti-Umno sedang meningkat, juga akan menyebabkan PAS kehilangan sokongan golongan pertengahan Melayu.

Dalam senario ini, Liew berkata, DAP Johor akan cuba menjadi titik pertemuan semua kumpulan anti-Umno untuk mengalahkan parti pemerintah itu.

Katanya, DAP peringkat negeri ini akan memastikan ia menjadi sebahagian daripada penjajaran semula yang dijangka dalam politik Malaysia.

"Dengan dua pertiga kerusi Parlimen di Johor terdiri daripada pelbagai etnik, DAP perlu keluar dari kekangan sedia ada untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi bukan Melayu, dan menjadikannya parti pilihan pengundi Melayu di bandar dan separa bandar," kata Liew. – 7 Jun, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/putus-hubungan-dengan-dap-pas-berdepan-risiko-tsunami-melayu-kata-dap-johor#sthash.Ed48JzMl.dpuf