Responsive Advertisement

1MDB: Pejabat PM minta Muhyiddin elak buat kenyataan keruhkan keadaan

KUALA LUMPUR: Pejabat Perdana Menteri menggesa semua pihak termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya bersabar dan menunggu hasil siasatan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dakwaan media asing mengenai penyaluran dana ke akaun Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam satu kenyataan media, Pejabat Perdana Menteri berkata siasatan Pasukan Petugas Khas sedang berjalan dan semua pihak perlu beri ruang kepada proses siasatan.

"Semua pihak lebih-lebih lagi anggota pentadbiran termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin hendaklah menunggu hasil siasatan."

"Sewajarnya kita mengelak membuat kenyataan yang boleh mengeruhkan persepsi rakyat terhadap kepimpinan negara serta kerajaan dan UMNO," kata Pejabat Perdana Menteri.

Tambahnya, kerajaan telah pun mengambil tindakan yang sepatutnya bagi menangani tuduhan dan kebimbangan yang dibangkitkan pelbagai pihak mengenai isu 1MDB.

"Ini termasuklah arahan kabinet untuk siasatan dibuat oleh Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Dokumen 'Fact Sheet' mengenai 1MDB telah diedakan kepada semua menteri," katanya.

Muhyiddin pada Ahad, menyifatkan Barisan Nasional akan kalah sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.

Beliau yang berucap menggulung mesyuarat UMNO bahagian Cheras turut meminta agar laporan awal siasatan 1MDB didedahkan kepada umum bagi menjawab segala persoalan.

Pada masa yang sama, tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilihat sebagai tidak membantu untuk meredakan keadaan.

"Tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang terus membuat pelbagai tuduhan yang tidak berasas termasuk kehilangan RM42 billion kepunyaan 1MDB walaupun penjelasan telah dibuat oleh Kerajaan turut menyumbang kepada terhakisnya kepercayaan terhadap Kerajaan dan parti," katanya.

Justeru itu, Pejabat Perdana Menteri meminta semua pihak supaya tenang dan bersatu padu dalam mendepani cabaran ini dan mempertahankan sokongan rakyat kepada kerajaan dan parti.

"Sokongan rakyat terhadap kerajaan dan parti akan terhakis jika kita berbalah sesama sendiri," ujarnya lagi.