Responsive Advertisement

Gambar amoi rapat dada itu isu remeh kata Mat Sabu

KOTA BHARU 2 Sept. – Pengerusi Parti Pekerja Malaysia (Parti Pe­ker­ja), Mohamad Sabu me­nyi­­fatkan orang Islam kini lebih gemar memperbesar-besarkan isu remeh se­perti gambar beliau de­ngan seorang wanita Cina pada perhimpunan haram Bersih 4.0 baru-baru ini.

Beliau berkata, tindakan peserta perhimpunan itu termasuk wanita Cina bergambar dengan beliau adalah situasi biasa yang tidak sepatutnya dibangkitkan.

“Baru-baru ini perhimpunan Bersih, orang ratus ribu, saya bila turun dalam keadaan orang ramai, terutama sekali peserta Cina datang ingin bergambar. Adalah seorang wanita Cina ini datang ambil gambar sandar dekat bahu kita, itu jadi isu besar sekarang.

“Inilah orang Islam sekarang, dia tengok benda macam ini, dia bukan tengok isu lain yang lebih besar," katanya ketika menyampaikan ceramah parti itu di Pasir Tumboh, di sini malam tadi.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi Parti Pekerja, Salahuddin Ayub; Naib Pengerusinya, Hasanuddin Mohd. Yunus; Ahli Jawatankuasanya, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Baru-baru ini tersebar di laman-laman sosial gambar bekas Timbalan Presiden Pas itu dalam keadaan mesra dengan seorang wanita Cina pada perhimpunan haram Bersih 4.0 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu yang keahliannya terlucut secara automatik dalam Pas berkata, beliau menghalalkan segala perjuangan dan khidmatnya bersama parti tersebut sejak 37 tahun lalu.

Dalam masa sama, beliau juga mengakui sedih meninggalkan parti lamanya itu, namun tetap akan meneruskan perjuangan melalui wadah lain seterusnya bekerjasama dalam gabungan pakatan pembangkang baharu.

“Selama 37 tahun dalam parti (Pas) bukan senang nak pergi kepada wadah Islam tetapi bot lain (Parti Pekerja). Sekarang saya tengok markas Pas air mata masih mengalir, markas mana yang saya tidak pergi memberi ceramah untuk kutip derma.

“Tapi kadang-kadang, kawan-kawan, adik-adik (dalam Pas) mereka bersikap kasar macam halau kita. Saya kata, saya tidak lantik peguam untuk tuntut harta sepencarian (selama dalam Pas), kalau tuntut, saya tidak tahu ba­nyak mana.

“Apapun, apa saja khidmat saya dalam Pas, segala bentuk jasa, pengorbanan saya tidak akan ungkit, halalkan semuanya,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad dalam sidang akhbar selepas ceramah itu berkata, sokongan orang ramai terhadap Parti Pekerja di seluruh negara sangat menggalakkan.

- See more at: http://m.utusan.com.my/berita/politik/gambar-dengan-wanita-cina-isu-remeh-8211-mat-sabu-1.131146#sthash.cUqqyXpX.dpuf