Responsive Advertisement

Apabila doa ibu itu mustajab...

Hujung minggu lalu, saya memandu kereta ke masjid untuk menyampaikan kuliah Subuh. Sepanjang perjalanan, terdetik dalam fikiran, “Dah lama tak buat ‘alignment’ tayar kereta. Nak kena buat nanti.”

Tanpa disangka, 10 minit kemudian saya terlanggar sebatang besi. Mungkin serpihan daripada kerja kontraktor yang membaiki jalan di situ. Tayar kereta kempis dan saya memberhentikan kereta di tepi jalan dalam keadaan hening pagi yang sunyi itu.

Kebetulan dalam kereta tiada peralatan mencukupi. Saya mati kutu sebentar. Saya menahan sebuah teksi yang kebetulan lalu. Namun, bila seluk poket, rupa-rupanya saya tertinggal beg duit. “Ah, sudah. Macam mana nak buat? Subuh dah nak masuk. Macam mana nak ke masjid?”

Mujur ada telefon bimbit. Saya memaklumkan kepada orang masjid situasi saya alami ketika itu. Akhirnya saya dijemput ke masjid dengan menaiki motosikal.

Selepas selesai kuliah Subuh, ada orang masjid membantu untuk menukar tayar kereta. Sambil tukar tayar, kami berbual dan saya bercerita mengenai rancangan untuk buat ‘alignment’ tayar ketika dalam perjalanan ke masjid tadi.

“Memang betul ustaz, apa yang kita fikir adalah doa. Apa yang kita fikir tu kadangkala terus sampai pada Allah,” kata lelaki tadi. Saya tersenyum membenarkan kata-katanya.
Dia menyambung lagi, “Sama juga dengan ibu ayah kita, terutamanya ibu. Depan ibu, jangan tunjuk sangat kita susah walaupun sebenarnya kita memang tengah susah. Cuba tunjuk depan ibu yang kita senang. Sekali sekala belikan hadiah untuk ibu kita.”

“Maksudnya macam mana encik?” tanya saya padanya untuk mendapatkan penjelasan. Kalau dah susah, macam mana nak senang? Bukankah hipokrit?

“Bagini ustaz. Ibu ini, apa yang dia kata adalah doa. Kalau dia nampak kita susah, mesti dia akan sebut, ‘Buat apa awak belikan mak barang, awak pun susah. Banyak nak belanja itu ini.’

“Kadangkala ibu kita bersembang dengan kita mengenai adik-beradik yang lain,

‘Kesian kat abang awak, dah umur 40 tahun pun belum beli rumah. Kesian nampak dia susah nak cari rezeki’.”

Saya tersenyum seakan-akan mengerti apa yang cuba disampaikan.

Kemudian dia sambung lagi, “Bila ibu nampak kita susah, perkataan yang akan selalu meniti di bibirnya adalah ‘susah’. Secara tak langsung ‘susah’ ini menjadi doa yang sampai ke ‘atas’.

“Alhamdulillah ustaz, dalam adik-beradik saya, kiranya sayalah yang paling ‘senang’. Bukan nak cakap besar ustaz, bila saya bersembang dengan ibu saya, selalu ibu sebut, ‘Awak kan senang, tolong-tolonglah abang awak yang susah tu.’

“Dan saya nampak apa yang disebut ibu, itu yang berlaku. Kita mesti tanamkan dalam pemikiran ibu bapa kita mengenai kita, biarkan dia selalu nampak kita senang.”

Ada kebenarannya apa yang disampaikan lelaki ini. Mahu ibu ayah nampak senang tidaklah sampai kita perlu meminjam untuk membeli barang yang mahal. Cukup kita belikan buah tangan, bawa mereka berjalan atau sekali sekala belikan apa yang mereka suka. Kita juga adalah ibu dan ayah atau bakal ibu dan ayah suatu masa nanti. Banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada kisah tadi, antaranya;

1. Doa ibu sangat mustajab - sama ada bermaksud baik atau tidak. Oleh itu, ibu perlu berhati-hati dan usah ikut perasaan.

2. Ibu harus sentiasa mendoakan kebaikan untuk anak-anak, lebih lagi pada waktu solat.

3. Ibu harus sentiasa menjaga mulut dan usah mudah tersinggung - maafkanlah dan nasihatkan serta sentiasa berdoa untuk anak.

4. Sebagai pengasuh, ibu perlu dilengkapi ilmu demi memupuk anak yang soleh.

Seorang alim besar, Syeikh Syaroni Ahmadi Al-Qudsy berkata: “Doa ibu adalah seperti jelmaan malaikat, bahkan ibu adalah seperti jelmaan malaikat yang nampak. Ertinya, hati-hatilah dengan doa ibumu kerana doanya begitu cepat dikabulkan oleh Allah SWT.”

Sumber: Whatsapp Group