Responsive Advertisement

Datuk Vida mahu Traore mandi bunga

Pelaburan sudah dibuat, stadium sedang dicat, jersi pula diganti namun prestasi Kelantan masih belum menjadi. Penyerang diharapkan pula kadang-kadang lemau.

Jawapan bagi masalah itu - mandi bungalah!

Bagi penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Datuk Seri Hasmiza Othman prestasi dipamerkan pemain dari Mali, Dramane Traore, perlu "mandi bunga" untuk mengukuhkan kemampuannya.

Hasmiza atau lebih mesra dipanggil Datuk Vida berkata, prestasi hambar Traore yang pernah diangkat sebagai penjaring terbanyak Liga Malaysia musim lalu amat mengecewakan.

"Memang dia masih mencari keserasian bersama pasukan baru, tapi berapa lama lagi tempoh perlu diambil. Sekarang dah masuk perlawanan ketiga tapi prestasinya belum di tahap terbaik," katanya dilaporkan mStar Online.

Traore adalah salah seorang daripada empat pemain import digunakan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors musim ini.

Tiga pemain import lain ialah Jonatan Lucca dari Brazil), Baze Ilijoski (Macedonia) dan Jonathan McKain (Australia).

Kelantan menang tipis 1-0 dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA pada Sabtu lalu walaupun lawan mereka adalah pasukan bertaraf kelab bawahan, UKM FC.

Hasmiza berkata, beliau meletakkan harapan begitu tinggi kepada Traore berdasarkan rekod dan kemampuannya sebelum ini.

Mahu ubah taktik

Malangnya setakat ini kemampuan Traore belum benar-benar menyerlah atau berbisa.

"Nampaknya dia kena mandi bunga untuk buang badi tersebut," katanya

Menurut jutawan kosmetik itu, Traore sepatutnya menyesuaikan diri dengan mudah memandangkan dia mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Super bersama PDRM musim lalu.

Susulan itu, beliau memberi kata dua kepada penyerang berusia 33 tahun berkenaan supaya memperbaiki rentak permainan sekiranya mahu kekal bersama skuad Kelantan.

"Traore perlu ambil serius amaran ini jika tidak mahu disingkirkan daripada pasukan. Dia sepatutnya menggunakan kelebihan yang ada pada dirinya.

"Ia satu kerugian kepada pasukan kerana apa yang kita harapkan tidak berlaku. Lagipun kita sudah laburkan wang yang banyak untuk mendapatkan khidmatnya," kata Hasmiza.

Sementara itu, Hasmiza turut mendesak ketua jurulatih Kelantan, K Devan mengubah taktik permainan pasukan yang disifatkan sebagai sudah lapuk dan mudah dibaca pihak lawan.

"Mereka sepatutnya menang dengan gol lebih besar, sekurang-kurangnya lapan gol tapi tak sangka pula hanya satu gol.

"Saya dah hubungi Devan dan dapatkan penjelasan daripada beliau mengenai aksi hambar pasukan ketika aksi menentang UKM FC," katanya dipetik sebagai berkata.