Responsive Advertisement

Remaja jumpa MH370 di pantai Mozambique

Remaja jumpa MH370 di pantai Mozambique
Foto fail yang diambil pada 3 Mac 2016 yang mungkin sebahagian daripada bangkai pesawat MH370 yang di temui di tebing pasir‎ Mozambique.
KUALA LUMPUR - Seorang remaja Afrika Selatan menjumpai satu serpihan yang mungkin sebahagian daripada MH370, yang hilang dua tahun lepas, lapor Reuters.

Menurut agensi berita itu, Liam Lotter, 18, memberitahu radio East Coast Afrika Selatan bahawa dia menjumpai serpihan berkenaan di pantai Mozambique ketika bercuti Disember lepas dan keluarganya membawa serpihan itu pulang ke rumah mereka di Afrika Selatan.

Reuters melaporkan bahawa remaja itu berkata, selepas satu serpihan yang disyaki berasal daripada MH370 dijumpai di Mozambique minggu lepas, keluarganya mengaitkan serpihan itu dengan serpihan yang dijumpainya.

Agensi berita itu melaporkan bahawa kepingan logam berwarna putih sepanjang satu meter itu sedang dikaji oleh para pegawai di Australia dengan bantuan pihak berkuasa Malaysia serta wakil pengeluar pesawat berkenaan, Boeing Co.

Pihak berkuasa Afrika Selatan merancang menyerahkan serpihan yang dijumpai Lotter itu kepada pasukan Australia yang sama.

Pada Khamis lalu, ‎media melaporkan, serpihan pesawat yang ditemui di tebing pasir‎ Mozambique awal bulan ini, dipercayai milik MH370, selamat sampai ke tanah air untuk dianalisa sebelum‎ dihantar ke Australia bagi pengesahan lanjut.

MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada skrin radar pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Setakat ini, satu-satunya serpihan pesawat malang itu yang dijumpai ialah sebahagian daripada sayapnya yang terdampar di pantai Pulau Reunion Julai tahun lalu. - Bernama