Responsive Advertisement

Jutawan Malaysia beli Bari FC terbabit jual pesawat

KUALA LUMPUR: Pemilik baharu Bari FC 1908, Datuk Dr Noordin Ahmad dikatakan memiliki kekayaan selepas terbabit dalam penjualan pesawat komersial sejak 1980-an. Dr Noordin yang juga bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) dipercayai memiliki rangkaian kenalan dalam industri berkenaan di Perancis sejak beberapa lama dulu. Seorang kenalannya yang enggan dikenali memberitahu, dia mengenali Dr Noordin yang bersekolah di MTD antara tahun 1973 hingga 1979, namun mengakui jutawan itu sememangnya 'low profile'. "Apa yang saya tahu, sejak menamatkan pengajian dia memang terbabit sebagai ejen penjualan pesawat komersial dan memiliki kaitan dengan sekurang-kurangnya dua syarikat di Perancis yang menjual pesawat kepada syarikat di negara ini," katanya kepada BH Sukan, semalam. Rakan Dr Noordin itu berkata, pemilik baharu Bari FC itu yang berusia dalam lingkungan 60-an pernah menjadi perhatian ramai selepas berkahwin dengan seorang penyanyi popular sekitar 90-an. "Dia memang minat dalam sukan tetapi tidak seperti orang lain, pengetahuannya dalam sukan lebih mendalam kerana dia tahu semuanya terhadap sesuatu yang diminatinya. "Sebelum ini Dr Noordin yang berasal dari Perak pernah memberitahu saya mahu membeli kelab sukan tetapi saya tidak tahu pula dia memang berminat untuk melabur dalam kelab bola sepak," katanya. Menerusi pemilikan baharu ini, Dr Noordin akan menjadi pemegang saham majoriti dengan 50 peratus, Presiden Bari FC 1908, Gianluca Paparesta mengekalkan 45 peratus manakala Cosmo Giancaspro kekal dengan pemilikan 5 peratus. BH Sukan semalam melaporkan Dr Noordin 'jatuh hati' kepada kelab yang terkenal dengan jolokan Biancorossi dan kini beraksi di Serie B selepas yakin dengan potensinya. Jutawan Malaysia itu juga dikatakan menjalankan perniagaan berasaskan minyak dan berlian, mahukan cabaran baharu dalam hidupnya dan berhasrat membawa pasukan miliknya itu kembali bersaing dalam liga elit negara itu, Serie A. "Roma dan Lazio adalah pasukan yang beraksi dalam Serie A dan jika mereka menjadi juara liga, tiada apa yang hendak dihairankan. Namun, jika saya membawa Bari menjuarai Serie B dan seterusnya layak beraksi di Serie A, ia adalah satu pencapaian terbesar yang boleh dibanggakan," katanya pada sidang akhbar di Itali, kelmarin.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/144272?m=1