Responsive Advertisement

Rusia Dibatalkan Daripada EURO 2016 Tapi...

Russia dibatalkan penyertaan dalam Euro 2016 -- menerusi hukuman yang tertangguh -- selain didenda €150,000 berikutan keganasan penyokongnya yang mencemari perlawanan dengan England, demikian diumumkan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Dalam perlawanan Sabtu lalu, beratus-ratus penyokong Russia merempuh hadangan di Stade Velodrome sejurus perlawanan yang berkesudahan 1-1 itu tamat, dan menyerang penyokong England.

Ini disusuli amaran UEFA pada Ahad bahawa kedua-dua pasukan England dan Russia boleh disingkirkan dari kejohanan yang sedang berlangsung jika keganasan serupa berulang.

Kenyataan UEFA hari ini berbunyi: "Badan Disiplin, Etika dan Kawalan UEFA yang bermesyuarat hari ini memutuskan hukuman berikut ke atas Kesatuan Bolasepak Russia:
* Denda €150,000.
* Penyingkiran ke atas pasukan Russia daripada Euro 2016 yang tertangguh sehingga akhir kejohanan kali ini. Jika kejadian serupa berulang lagi, pasukan Russia tersingkir dengan serta-merta."

Sehubungan itu, pihak berkuasa Perancis telah menghantar pulang ramai penyokong Russia kerana mencetuskan rusuhan dan keganasan.

Sekalipun boleh merayu dengan hukuman UEFA itu, menteri sukan negara itu, Vitaly Mutko, memberi isyarat perkara itu tidak akan berlaku.

Mukto yang juga Presiden Kesatuan Bola Sepak Russia berkata, "Apa lagi yang boleh dilakukan?"

Polis Perancis menyalahkan insiden pada awal pagi Ahad itu ke atas 150 samseng bola sepak Russia.

Russia akan menentang Slovakia pada jam 9 malam esok.