Responsive Advertisement

Obsesi Melayu Islam dengan babi

Insiden berus cat bulu babi menjadi berita hangat baru-baru ini. Seperti banyak isu yang melibatkan Islam di Malaysia, ia menjadi bahan ketawa di media sosial.

Ramai juga bertanya, adakah kita tidak mempunyai isu lain yang mahu diketengahkan?

Ketika harga bahan keperluan melambung naik, ribuan orang hilang kerja, skandal kewangan dan pecah amanah, inikah yang menjadi isu?

Kenapa Melayu Islam obses mengenai babi?

Memori pertama saya berkenaan isu babi ini ialah pada 1995 ketika saya masih remaja. Ketika itu, filem “Babe” diharamkan oleh Lembaga Penapisan Filem kerana heronya seekor babi. Kami pada masa itu berseloroh, jika babi memegang watak jahat, mungkinkah filem itu ditayangkan? Entahlah.

Saya juga teringat sebuah kedai di One Utama menjual kasut dibuat daripada kulit babi. Teringat kami sekeluarga mengunjung kedai itu. Begitu terkilan kami melihat papan tanda yang agak besar memberitahu pelanggan mengenai bahan yang digunakan. Pada masa itu, tidak terfikir pula tentang implikasi fenomena ini.

Insiden minggu lepas pula menampakkan gaya yang lebih agresif.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Johor merampas berus cat diperbuat daripada bulu babi selain menggunakan logo dan sijil halal palsu hasil pemeriksaan mengejut.

Mengikut KPDNKK, kedai yang menjual berus itu tidak menayangkan tanda “bukan halal” dan juga menggunakan sijl halal palsu untuk produk tersebut.
Mungkin kerana produk daripada babi lebih murah.

Bagi saya, kemahuan pengguna perlulah dihormati. Jika umat Islam tidak mahu produk daripada unsur babi, itu hak mereka. Tetapi yang perlu dipersoalkan di sini ialah, perlukah kita terlalu obses tentang hal ini?

Sebenarnya, orang Melayu Islam di Malaysia sudah lama dilindungi pelbagai pihak berkuasa sehinggakan kita menjadi terlalu sensitif. Dunia kita sudah terlalu sempit sehinggakan kita mempunyai mentaliti dunia ini perlu akur dengan segala pe’el kita!

Kali pertama saya merantau ke negara asing untuk belajar, saya terkejut juga apabila melihat produk babi di pasar raya. Produk itu pula diletak betul-betul di sebelah produk haiwan lain.

Timbul perasaan was-was ketika itu. Adakah unsur babi (saya belum kenal perkataan “porcine” pada masa itu!) boleh terhinggap ke atas daging lain? Alhamdulillah, pada masa itulah saya mula mengenal Al-Quran.

Ketika itu, saya menghadiri usrah progresif mendalami Al-Quran. Pakcik yang mengendalikan usrah tersebut menunjukkan ayat berkenaan babi kepada saya. Yang menghairankan, Al-Quran begitu spesifik dalam hukum pengharaman babi. Tidak ada langsung tentang produk daripada haiwan itu, jauh sekali unsur porcine!

Yang wujud adalah pengharaman daging babi (“lahm al-khinzir” seperti ayat 2:173 dan 5:3) yang membawa maksud ia berkenaan dengan pemakanan.
Alasan pengharaman ini ialah kerana daging babi dianggap sebagai kotoran (6:145).

Banyak sarjana berpendapat “kotoran” yang dimaksudkan adalah secara fizikal dan mungkin ini benar juga. Namun begitu, saya juga berpendapat “kotoran” di sini mempunyai maksud simbolik.

Dalam beberapa bahasa, “babi” menjadi panggilan buruk kepada seseorang. Bahasa Inggeris umpamanya, menyamakan perkataan “pig” itu dengan lelaki yang tidak menghormati wanita dan hanya menganggap wanita objek seks.

“Pig” juga dikatakan orang yang hanya hidup untuk makan dan tidak mempedulikan keadaan sekelilingnya.

Dalam Al-Quran, terdapat kisah kaum yang meninggalkan bimbingan wahyu lalu Tuhan menjadikan mereka monyet dan babi (5:60) dan menjadi khadam kepada “taghut” (iaitu golongan penguasa yang melampaui batasan Tuhan).

Dari segi konteks, kita dapat melihatnya sebagai ayat simbolik yang menunjukkan pertukaran perangai manusia apabila mereka mengabaikan bimbingan Tuhan.

Begitulah sahaja maklumat daripada Al-Quran tentang haiwan bernama babi ini.

Secara amnya, haiwan dalam aturan Tuhan adalah untuk kegunaan manusia di muka bumi ini. Kita perlu mengendalikan alam semula jadi dengan penuh tanggungjawab. Ini termasuklah memahami apa itu halal dan haram. Mengapa perlu terlalu obses sehinggakan benda yang bukan haram pun dijadikan haram?

Perdana Menteri Najib Razak mengeluarkan kenyataan tentang insiden rampasan berus cat, mengatakan tindakan itu tidak sesuai. Sebaliknya, beliau berkata lebih baik pegawai KPDNKK menasihati tauke kedai berkenaan peraturan produk babi.

Ini nasihat yang amat bernas daripada Najib. Negara kita berbilang bangsa dan agama dan bukan sahaja golongan Melayu Islam yang mempunyai perasaan yang perlu dijaga. Obsesi mereka tentang babi sememangnya amat destruktif.

Sumber: FMT