Lelaki berkenaan yang berusia 43 tahun dan anaknya berumur 14 tahun yang melecur pada beberapa bahagian badan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.
loading...
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, berdasarkan laporan pengadu iaitu isteri mangsa, dia bersama suaminya dan dua anak mereka telah pergi ke kedai dobi berkenaan untuk mengeringkan pakaian.
"Semasa pengadu bersama anak kecil di dalam kereta, tiba-tiba berlaku letupan di mesin pengering tersebut dan menyebabkan suami dan anak perempuannya melecur pada tubuh badan.
"Pengadu telah meminta bantuan orang ramai membantu mengangkat suami dan anaknya ke dalam kereta sebelum memandu terus ke HTAR," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Shamsul Amar berkata, siasatan awal mendapati, letupan berlaku setelah suami pengadu menekan butang “START” mesin pengering, yang secara tiba-tiba meletup dan menyebabkan suami dan anak pengadu mengalami kebakaran pada tubuh badan.
Katanya, kedua-dua mangsa berada dalam keadaan stabil dan dirawat di HTAR di sini.
Menurutnya, pegawai bomba mengesahkan punca kejadian adalah akibat masalah teknikal pada mesin pengering yang menyebabkan api menyambar bahagian belakang yang menempatkan tong gas.
"Siasatan mendapati tiada unsur khianat dalam kes ini," ujarnya. - K! ONLINE