Responsive Advertisement

(Video) Pasangan guru masih trauma

KOTA BHARU - Pasangan guru Muhamad Sardi Saad, 43, dan isteri, Fadilah Abd. Wahab, 49, masih trauma dengan kehilangan anak bongsu mereka akibat kecuaian pihak Hospital Besut meskipun kejadian tersebut sudah hampir enam tahun berlaku.

Malah ibu bapa kepada arwah kanak-kanak Ulya Insyirah, 4, itu menganggap bayaran ganti rugi sebanyak RM896,792.13 daripada 11 defendan termasuk dua pengarah hospital di Terengganu tidak dapat mengembalikan anak mereka.

Fadilah berkata, dia kembali diserang perasaan trauma dan kesedihan setiap kali tibanya hari Jumaat berikutan peristiwa malang menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu berlaku pada hari tersebut.

"Setiap kali balik (mengajar) dari sekolah saya akan panggil 'Adik, Umi dah balik'. Saya tahu dia tidak akan menyahut. Apabila setiap hari lalu di tanah perkuburannya saya akan berbisik 'Adik, tunggu umi di syurga'. Namun saya tidak kuat untuk pergi dekat ke kuburnya.

"Selepas berasa lega saya balik ke rumah, demikian rutin harian saya sejak hampir enam tahun lalu selepas kehilangan Ulya Insyirah pada 6 Disember 2013. Datang segunung emas pun tidak mampu kembalikan anak kami," ujarnya sebak ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Fadilah yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tempurong, Jerteh, Terengganu itu, dia mengikuti saranan pakar terapi Unit Psikiatri Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini agar membuat aktiviti untuk meringankan sedikit ingatan terhadap arwah.

Pada 14 Mei 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu memerintahkan 11 defendan termasuk dua pengarah hospital dan lapan doktor membayar pampasan merangkumi ganti rugi am berjumlah RM600,000, ganti rugi khas (RM96,792.13) dan ganti rugi teladan (RM200,000) berserta lima peratus faedah dan kos setahun.

Pada 7 Februari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya terdiri daripada Datuk Abdul Rahman Sebli; Datuk Yaacob Md. Sam; dan Datuk Nor Bee Ariffin membatalkan satu permohonan rayuan dibuat pihak defendan tersebut pada 13 Jun 2018.

Pada prosiding itu pihak perayu iaitu kerajaan Malaysia diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Asliza Ali manakala pasangan tersebut diwakili peguam Tun Salleh Abbas; Abdul Haris Malik; Mohd. Syukran Mohd. Noordin; Che Mohd. Firdaus Che Soh; Nor Syuhada Ismail dan Shahruddin Mohamed.

Dalam kejadian pada 5 Disember 2015, Ulya Insyirah yang juga anak bongsu daripada tiga beradik dibawa ke Hospital Besut kerana mengalami muntah-muntah sebelum menerima rawatan dengan dimasukkan air.

Ia disusuli dengan kejadian tangan dan badan Ulya Insyirah bengkak sebelum Fadilah memohon supaya doktor melakukan pemeriksaan X-ray dan keputusan mendapati ada tompokan putih iaitu lebihan air dalam paru-paru.

Ulya Insyirah akhirnya tidak sedarkan diri sebelum seorang doktor memasukkan ubat.

Bagaimanapun, kelemahan material seperti plug rosak serta kehabisan gas dan tiada kepakaran, Allahyarham dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah pada pukul 5 pagi, keesokan harinya.

Bagaimanapun, sebaik tiba di sana pada pukul 6.50 pagi, Allahyarhamah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 8.05 pagi. - K! ONLINE
loading...