Responsive Advertisement

14 warga China dari Wuhan dihalang masuk, diarah tinggalkan Malaysia ‘secepat mungkin’

KUALA LUMPUR: Seramai 14 warganegara China dari Wuhan – pusat wabak koronavirus yang meragut lebih 100 nyawa – dihalang masuk negara 2 hari lepas, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pesawat kumpulan tersebut mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 28 Jan lepas tetapi tidak dibenarkan masuk ke Malaysia dan diarah pulang.

“Mereka perlu tinggalkan Malaysia secepat mungkin. Imigresen mengesahkan mereka sudah pulang,” katanya kepada pemberita, dan menambah ini adalah tatacara operasi standard.

“Pembolosan tak berlaku di mana-mana pintu masuk negara,” katanya.

Malaysia pada 27 Jan menggantung pengeluaran visa kepada warga China dari bandar Wuhan, wilayah Hubei dan kawasan sekitar ekoran kebimbangan mengenai wabak koronavirus.

Penggantungan ini termasuk kemudahan tanpa visa (eNTRY), visa semasa ketibaan (visa on arrival), e-visa, dan visa manual.

“Kemudahan imigresen ini akan diberikan semula setelah keadaan kembali normal,” kata Pejabat Perdana Menteri.