Responsive Advertisement

Kahwin bawah umur: SIS gesa Putrajaya bincang dengan Kelantan

PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi wanita, Sisters in Islam (SIS) hari ini menggesa kerajaan persekutuan berbincang dengan kerajaan Kelantan untuk menaikkan umur perkahwinan kepada 18 tahun.

Kumpulan itu berkata Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menetapkan pelan 5 tahun untuk memastikan undang-undang, peraturan dan garis panduan di peringkat negeri selari dengan dasar persekutuan.

Pelan ini menyatakan halangan dalam menaikkan umur minimum perkahwinan akan ditangani di semua negeri.

Sisters In Islam membuat gesaan itu selepas seorang timbalan menteri berkata kerajaan persekutuan tidak campur tangan keputusan kerajaan Kelantan untuk mengekalkan had usia perkahwinan 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki.

Kumpulan itu berkata: “Maju ke hadapan, kementerian perlu usahakan bagaimana ia akan berbincang dengan Kelantan dan semua negeri lain dalam hal ini.”

SIS menambah menteri dan timbalan menteri hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri mesti menyokong kementerian wanita dalam usaha menamatkan perkahwinan bawah umur.

“Amalan perkahwinan kanak-kanak di Malaysia tidak boleh dipertahankan, melanggar hak asasi kanak-kanak dan merampas peluang mereka untuk kehidupan yang lebih baik di masa hadapan.”

Terdahulu hari ini, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata kementerian wanita memutuskan tidak akan campur tangan dalam keputusan kerajaan Kelantan.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya akan kerajaan menasihatkan kerajaan negeri supaya mematuhi undang-undang dengan menempatkan hakim Mahkamah Tinggi Syariah sebagai pembuat keputusan terhadap sebarang permohonan pernikahan membabitkan pasangan bawah umur.