Mohd Salleh Mohd Yusop, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Salleh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa kira-kira 5 petang antara 26 Dis hingga 27 Dis 2019 dan antara 3 petang hingga 3.30 petang pada 7 dan 13 Jan lepas di sebuah rumah di Kampung Baru Sungai Terap, Batu Gajah.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta menjalani pengawasan polis sehingga 3 tahun, jika sabit kesalahan.
Bapa kepada 4 anak itu turut didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii kira-kira 5 petang antara 26 hingga 27 Dis, dan kira-kira 3.30 petang pada 7 Jan di tempat sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun serta sebat selain menjalani pengawasan polis tidak melebihi 3 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Fairuz Rahman.
Terdahulu, Khairul meminta mahkamah menawarkan ikat jamin yang rendah ke atas tertuduh yang mengalami masalah penglihatan akibat kemalangan semasa bekerja di sebuah kilang 13 tahun lepas kerana kini hanya bergantung kepada bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setiap bulan selain mempunyai 4 anak masih bersekolah.
Khairul juga memohon mahkamah membenarkan jaminan terhadap tertuduh kerana 2 anak perempuannya berusia 13 tahun termasuk mangsa sudah berpindah ke Sarawak bersama ibu mereka.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh dikehendaki melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan dan tidak boleh mengganggu mangsa serta mana-mana saksi atau jaminan ditarik semula.