Responsive Advertisement

Ayda Jebat ‘melucah’ dengan suami kongsi di media sosial


Gelagat dan aksi terlebih manja yang dikongsikan pasangan selebriti yang baru mendirikan rumah tangga, Ayda Jebat dan Nabil Mahir di laman sosial mengundang perasaan kurang senang segelintir pihak.


Kebanyakan menganggap perkongsian Ayda di Instagram Story mengenai sikap suaminya yang suka mencium pipi berulang kali selain suka bermanja dengannya sebagai sesuatu yang tidak wajar dikongsi hingga mengundang rasa meluat serta lucah.


Terbaharu, Ayda turut mendedahkan perangai pelik suaminya yang suka menghidu bau ketiaknya terutama ketika waktu lapang.


Ayda ketika dihubungi berkata, dia tidak mampu mengawal sikap netizen yang tidak henti mengecam namun dia ingin memohon maaf sekiranya tindakannya itu dirasakan tidak manis.


"Salahkah saya memuat naik sesuatu yang positif dan turut disokong oleh ramai pasangan suami isteri yang turut menerima layanan sama meskipun ada diantaranya sudah berkahwin lebih 20 tahun. Mereka begitu suppotif dan mendoakan agar kebahagiaan saya dan Nabil terus berkekalan.


"Daripada perkongsian saya itu, ada juga pasangan yang berasa sedih dan cemburu apabila mengatakan suami mereka tidak romantik selepas berkahwin malah nak minta bergambar bersama pun tidak mahu. Jadi saya harap janganlah melihat apa yang dikongsikan dari sudut yang negatif dan lucah sebab saya hanya ingin menunjukkan rasa bahagianya bercinta selepas kahwin.


"Ada rakan-rakan dan peminat beritahu saya, masa awal-awal bercinta saja indah, tapi selepas kahwin tiada sudah momen bahagia itu.Tapi saya bersyukur sebab menerima layanan yang baik selepas berkahwin. Saya hanya berkongsi sikap Nabil yang manja dan tidak dibuat-buat. Bagaimanapun saya ingin memohon maaf sekiranya ada pihak berasa kurang senang melihat kemesraan kami. Saya tak mampu nak menjaga perasaan semua orang," katanya.


Menurut Ayda, apa yang dikongsikan mengenai sikap Nabil adalah perangai sebenar suaminya.


"Saya sedar memiliki pengikut daripada pelbagai lapisan umur di laman sosial Instagram. Jadi segala perkongsian yang dimuat naik, saya akan pastikan ia tidak keterlaluan.


"Namun jika ada yang beranggapan sebaliknya, anda perlu mengubah mentaliti dan jangan terlalu berfantasi.


"Tapi lihat perkongsian ini sebagai sesuatu yang positif serta doakan agar kemesraan ini berkekalan dan anda sendiri turut mengimpikan layanan seperti ini," katanya.


Terdahulu pasangan ini selamat diijabkabulkan dalam satu majlis sederhana di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur 1 Januari lalu.