Responsive Advertisement

Piala FA: FAM diminta turun harga tiket

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) diminta mengkaji semula harga tiket perlawanan akhir Piala FA 2012 yang akan berlangsung 19 Mei ini, daripada RM40 kepada RM20.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, harga tiket itu tidak rasional kerana naik mendadak tanpa memikirkan beban terpaksa ditanggung peminat-peminat fanatik The Red Warriors untuk menyaksikan Kelantan menentang Sime Darby di Stadium Shah Alam.

Menurutnya, setiap kali Kelantan ke final isu harga tiket pasti mengundang rasa tidak puas hati peminat yang merasakan harga tiket RM40 mahal dan bukan semua berkemampuan.

"Kelantan mempunyai penyokong yang ramai, jadi tidak hairanlah mereka merungut tentang isu tersebut, sudahlah peminat terpaksa merempuh perjalanan panjang, malah menanggung kos pengangkutan.

"Kita tidak mahu peminat rasa tertipu dan teraniaya ekoran harga tiket yang begitu mahal, harap dari RM40 diturunkan kepada harga asal RM20 seperti dahulu agar lebih ramai penyokong dapat ke stadium dan turut sama memberikan semangat untuk Kelantan," katanya hari ini.

Abdul Fattah berkata, FAM diharap memahami masalah kos perbelanjaan semua penyokong dan pertimbangkan semula harga tiket tersebut.

Abdul Fattah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Panau berkata, The Red Warriors mempunyai pengaruh yang kuat di mana mempunyai Badan Bukan Kerajaan (NGO) bersama ahlinya akan turun beramai-ramai untuk memberikan sokongan.

"Saya harap peminat tidak ditindas sesuka hati, harapan ini disuarakan berikutan terlalu ramai yang sedikit kecewa apabila harga tiket dinaikkan.

"Suara ramai peminat ini harap didengari agar sokongan dan semangat mereka tidak terganggu ekoran masalah ini," katanya.

Abdul Fattah juga menasihatkan peminat dan penyokong yang bakal ke perlawanan akhir ini memberikan sokongan penuh dan mengikut etika.

Sementara itu, untuk menyemarakkan semangat perlawanan akhir itu di Dun Bukit Panau akan disediakan tujuh layar besar bagi penyokong yang tidak dapat pergi menonton perlawanan akhir.

Ia akan di tempat-tempat strategic, kata beliau.