Pencapaian buruk Noraseela Mohd Khalid dan Lee Hup Wei dalam acara olahraga, kelmarin harus membuka laluan kepada pengkritik di tanah air yang menyoal keras kenapa kedua-dua atlit ini dipilih untuk misi di London.
Noraseela mendapat tempat terakhir dalam Saringan 2, pusingan pertama acara 400 meter berpagar wanita dengan catatan 1 minit 16 saat - jauh daripada rekod kebangsaan miliknya, 56.02s manakala Hup Wei sekadar mampu melepasi paras 2.16m dalam kelayakan - hari sama Usain Bolt dari Jamaica membakar litar memenangi pingat emas 100m lelaki dan mencatat rekod baru Sukan Olimpik.
Persembahan hambar wakil negara itu seperti mengajak kita membuka bicara, apakah mereka dibawa ke sini 'untuk melancong'.
Sebelum ini, dua atlit yang tersenarai dalam jadual asal adalah Rayzam Shah Wan Sofian bagi acara 110m berpagar lelaki dan Roslinda Samsu acara lompat bergalah wanita.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong turut meluahkan rasa kecewa dengan persembahan kedua-dua atlit itu sambil menyifatkan Noraseela 'seperti berjoging' dalam disiplin kegemarannya itu, kelmarin.
"Saya tidak menafikan ia satu pencapaian yang amat mengecewakan daripada dua atlit senior kita. Saya bukan suruh mereka layak ke final acara masing-masing tapi sekurang-kurangnya mengulangi atau mengatasi catatan peribadi terbaik masing-masing. Itu saja.
"Saya rasa pentas seperti ini bukan lagi kelas untuk mereka, khasnya Noraseela. Selepas ini saya akan cadangkan untuk mencari atlit muda lain menggantikannya. Kami berterima kasih kepada sumbangannya selama ini tapi sekarang dia sudah tidak mampu lagi mencabar dalam peringkat tertinggi seperti ini lagi," katanya, semalam.
Hup Wei memiliki rekod kebangsaan 2.27m dan andai mengulangi pencapaian sama itu di Olympic Stadium kelmarin, dia mungkin sudah layak ke pusingan kedua.
- Bharian
- Bharian