Responsive Advertisement

Olimpik 2012: (Terjun) Bryan gagal gegar pusat akuatik

JAGUH terjun negara, Bryan Nickson Lomas, ketinggalan satu anak tangga untuk mara peringkat separuh akhir acara 10m platform individu lelaki selepas menduduki tempat ke-19 pada saingan Sukan Olimpik 2012, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, Bryan, yang menjadi atlet terakhir negara beraksi pada Sukan London itu, diletakkan dalam senarai simpanan sekiranya mana-mana daripada 18 penerjun ke peringkat separuh akhir menarik diri.

Bryan, 22, dari Kuching, Sarawak, mengumpul 434.95 mata pada enam terjunan, jauh ketinggalan daripada pendahulu, Qiu Bo dari China yang mencatatkan 563.70 mata.

Selepas mengumpul 81.60 mata pada terjunan pertama, Bryan gagal menyempurnakan terjunan kedua berdarjah kesukaran tinggi dengan hanya mendapat 68.45 mata di tempat ke-18.

Pada terjunan ketiga, percubaan gaya terjunan 'back 3 1/2 somersault, beliau mendapat 29.70 mata menyebabkan kedudukannya merosot ke tangga ke-26.

Bagaimanapun, pemenang gangsa Sukan Komanwel 2010 New Delhi itu memperbaiki kesilapan untuk mencatatkan 74.25 mata pada terjunan keempat, 96.35 mata dan 84.60 mata masing-masing pada terjunan kelima dan keenam.

Pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, Bryan menduduki tempat ke-26 daripada 28 penerjun dalam acara sama dengan mengumpul 384.45 mata. -Bernama