Responsive Advertisement

Chelsea jadi kayu pengukur Arsenal

LONDON - Arsene Wenger percaya pertembungan dengan Chelsea di Stadium Emirates akan menjadi ujian sebenar sama ada Arsenal mampu mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini.

Bertambah menghangatkan suasana, pertembungan kedua-dua musuh ketat London itu turut diwarnai kes perkauman John Terry yang didapati bersalah oleh Persatuan Bola Sepak(FA) England mengeluarkan kata-kata perkauman kepada pertahanan Queens Park Rangers (QPR), Anton Ferdinand.

Terry telah dikenakan penggantungan empat perlawanan dan denda 220,000 pound (RM1.1 juta), namun masih boleh diturunkan menentang Arsenal kerana menunggu keputusan rayuan.

Bagaimanapun, Wenger enggan mengambil kisah masalah Chelsea dan mahu memberikan fokus mencari tiga mata ke atas seteru utama mereka itu.

Anak-anak buah Wenger mencatatkan keputusan seri dengan Manchester City pada minggu lalu dan menang ke atas Liverpool sekali gus menunjukkan Arsenal cukup bersedia mencabar kejuaraan pada musim ini.

''Kami telah bermain dalam satu perlawanan besar pada musim ini dan mula mendapat keyakinan setelah menentang Manchester City.

''Perlawanan kali ini merupakan satu yang berbeza kerana kami bermain di tempat sendiri. Kami telah bermain lima perlawanan, tiga di tempat lawan dan beraksi baik di tempat sendiri.

''Kami bakal berdepan tugasan besar dalam perlawanan ini dan diharapkan para pemain meneruskan rentak konsisten,"kata Wenger.

Gunners kembali diperkuatkan Thomas Vermaelen yang pulih daripada masalah demam serta menerima semula Bacary Sagna dan Jack Wilshere dalam sesi latihan pasukan.

Dua penjaga gol, Wojciech Szczesny dan Lukasz Fabianski masih mengalami kecederaan di samping Tomas Rosicky, yang memerlukan dua lagi minggu untuk pulih.

Namun, satu berita yang paling menggembirakan Arsenal sudah tentu ketiadaan Didier Drogba buat pertama kali selepas menyertai Shanghai Shenhua pada musim ini.

''Saya tidak pasti jika mereka (Chelsea) merindui kelibatnya tetapi tidak bagi kami. Dia telah banyak melakukan kemusnahan kepada kami.

''Pada musim lalu, dia beraksi dengan prestasi sederhana dalam liga tetapi dalam saingan piala, dia banyak membantu pasukan dalam saat yang genting.

''Dia memainkan peranan besar membantu Chelsea menjuarai Piala FA dan Liga Juara Eropah, dia mempunyai kualiti dan tidak cepat berputus asa, ternyata dia merupakan pemain yang hebat," katanya. - AFP