Responsive Advertisement

Lewis tinggalkan McLaren sertai Mercedes

LONDON - Lewis Hamilton bersedia meninggalkan McLaren dan menyertai pasukan Mercedes musim depan dengan perjanjian bernilai 60 juta pound (RM294 juta).

Pemandu Britain itu akan menggantikan Michael Schumacher yang bakal bersara daripada Formula Satu buat kali kedua.

Perkara itu disahkan Mercedes di ibu pejabat mereka di Stuttgart, semalam.

Hamilton akan menamatkan kerjasama selama 14 tahun bersama McLaren, kelab yang disertai sejak zaman kanak-kanak selepas menolak perjanjian 36 juta pound (RM174.4 juta).

Pemandu yang tinggal di Monaco itu akan menerima gaji 15 juta pound (RM73.5 juta) setahun dalam tempoh tiga tahun bersama Mercedes.

Bagaimanapun, bonus kemenangan dan kejuaraan dunia akan membolehkannya menikmati pendapatan sehingga 60 juta pound.

Malah, Hamilton juga dibenarkan untuk menandatangani perjanjian peribadi yang akan membolehkan dia meraih pendapatan sehingga 100 juta pound (RM490 juta).

Pengumuman Mercedes ini menamatkan spekulasi mengenai masa depan juara dunia 2008 itu yang telah tersebar luas sejak beberapa bulan lalu.

Mercedes tidak pernah menyembunyikan minat mereka untuk mendapatkan Hamilton bagi menggantukan Schumacher, antara pemandu Formula Satu paling berjaya.

Bagi Hamilton pula, dia amat berharap, keputusan untuk merubah pasukan akan membantunya menambah koleksi kejuaraan dunia dalam kariernya.

Dia begitu kecewa dengan McLaren sejak beberapa tahun lalu, biarpun pasukan Britain itu telah menyokong kariernya sejak berusia 13 tahun.

Hamilton, 27, akan bergabung dengan boss Mercedes, Ross Brawn, orang yang bertanggungjawab membimbing Schumacher merangkul tujuh kejuaraan dunia.

Malah, Brawn juga adalah orang kuat di sebalik kejayaan rakan sepasukan Hamilton, Jenson Button menjuarai kejuaraan dunia 2009.

Schumacher, 42, bergelut dengan prestasi sejak kembali daripada persaraan pada 2010. Dia akhirnya memutuskan untuk meninggalkan terus sukan Formula Satu. Pemandu Jerman itu hanya menaiki podium sekali sejak kembali berlumba, dua tahun lalu. - AGENSI