Responsive Advertisement

Persahabatan Antarabangsa: Vietnam benam Harimau Malaya 2-0

PASUKAN Vietnam menconteng arang pada skuad Harimau Malaya di halaman sendiri apabila mencatat kemenangan 2-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam ini.

Dengan kekalahan ini, ia bukan sahaja mengecewakan hampir 6,000 penonton Malaysia yang hadir memberikan sokongan, malah turut menjejaskan persiapan anak buah Datuk K Rajagobal untuk mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF pada November ini.

Pada babak pertama, kedua-dua pasukan dilihat mengamalkan corak permainan berhati hati dan bola banyak berlegar di kawasan tengah padang.

Malaysia yang mendapat sokongan padu daripada penyokong hampir membuka tirai jaringan awal menerusi Christie Jayaselan pada minit ketujuh, tetapi gagal disudahkan apabila tendangannya tersasar.

Mula menemui rentak, Vietnam mengatur permainan dengan melakukan asakan demi asakan ke gawang lawan.

Akhirnya, pasukan pelawat berjaya memecah kebuntuan jaringan apabila Lee Cong Vinh menjaringkan gol pertama setelah menewaskan penjaga gol Malaysia, Mohd Farizal Marlias pada minit ke-32.

Di babak kedua, Malaysia mula mengatur strategi apabila banyak melakukan serangan ke gawang lawan.

Namun, sekali lagi gawang Malaysia berjaya dibolosi.

Kali ini oleh Phan Thanh Hung menghasilkan gol kedua buat Vietnam, pada minit ke-48.

Berdepan dengan tekanan, Rajagobal dilihat memasukkan penyerang terbilang Pelita Jaya Safee Sali, namun tidak memberi sebarang kesan kepada Harimau Malaya.

Harimau Malaya semakin terdesak untuk memburu gol penyamaan dan akhirnya terpaksa akur apabila keputusan 2-0.

Senarai barisan pemain utama Harimau Malaya:

Mohd Farizal Marlias (GK) Mohd Faisal Muhammad Mohd Bunyamin Umar Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak Safiq Rahim Norshahrul Idlan Tahala Mohamad Azmi Muslim Wan Zack Haikal Wan Nor Gary Steven Robbat Mohamad Zaquan Adha Abd Razak Christie Jayaselan Devasagayam

Senarai barisan pemain utama Vietnam:

Nguyen Minh Duc Tran Dinh Dong Le Cong vinh Nguyen Trong Hoang Phan Thanh Hung Le Tan Tai Huyhn Quoc Anh Bui Tan Truong (GK) Nguyem Gia Tu Dao Van Phong Pham Nguyen Sa