Responsive Advertisement

Belasah Guam 13-0, Malaysia U-16 layak ke final AFC

Malaysia layak ke pusingan akhir Piala AFC bawah 16 tahun (B-16) di Bangkok, Thailand tahun depan selepas muncul juara Kumpulan H pada pusingan kelayakan di Laos, semalam.

Dalam perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Kompleks Sukan Nasional di Vientiane, anak buah S. Balachandran membelasah Guam 13-0 untuk mengumpul 10 mata selepas empat perlawanan.

Malaysia, yang menjuarai Kejohanan AFF Bawah 16 di Indonesia awal bulan ini, mengekalkan rekod tanpa kalah dengan seri 1-1 dengan Laos pada 21 Sept lepas, membenam Brunei Darussalam 8-0 (23 Sept) dan mengejutkan Korea Selatan 2-0, Jumaat lepas.

Pada perlawanan semalam, tiga pemain melakukan jaringan hatrik iaitu Muhammad Najmuddin Samat (9', 16', 48'), Najib Abdullah (22', 23', 63') dan Abang Nur-firman Abang Norazman (68', 80', 90'+1).

Ahmad Firdaus Ismail pula menjaringkan dua gol pada minit ke-14 dan 69 manakala Muhammad Shahrul Adnan dan M. Kogilaswaran menjaringkan satu gol masing-masing pada minit keenam dan 57.

Ini merupakan kali ketiga Malaysia melangkah ke pusingan akhir selepas 2004 di Jepun dan 2008 di Uzbekistan. Bagaimanapun, skuad negara gagal melepasi saingan peringkat kumpulan pada dua penampilan tersebut.

Pusingan akhir akan disertai oleh 16 pasukan termasuk tuan rumah Thailand.

- Bernama