Responsive Advertisement

Rashid Sidek kembali ke pangkuan BAM

RASHID Sidek kembali menyambung semula tugas sebagai jurulatih dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mulai hari ini.

Ini berikutan keputusannya untuk menarik balik peletakan jawatan jurulatih perseorangan negara yang dibuat pada 19 Sept lepas.

Pengurus Besar BAM, Kenny Goh dalam kenyataan semalam berkata pihak pengurusan BAM telah menerima keputusan Rashid.

Rashid, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996, menghantar surat peletakan jawatan kepada BAM dengan alasan Pengarah Talent Management Group Tan Aik Mong ingin merombak struktur latihan skuad kebangsaan.

Rabu lepas, Aik Mong, yang memulakan tugas pada 7 Sept lepas, meletak jawatannya selepas tidak puas hati dengan keputusan BAM kembali semula ke struktur asal sistem kejurulatihan.

Dalam kenyataan berasingan, Goh berkata BAM akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Badminton Korea, Rabu ini, dengan tujuan meningkatkan kerjasama antara dua persatuan itu.

Mengikut perjanjian itu, beberapa program pertukaran akan diadakan seperti latihan bersama antara pemain junior dan juga perlawanan persahabatan.

Goh berkata jurulatih kedua-dua persatuan itu juga akan bertukar-tukar idea dan pengetahuan dalam bidang sains sukan di samping merancang mengadakan kejohanan liga pada masa depan melibatkan pemain daripada kedua-dua negara itu.- Bernama