Responsive Advertisement

Piala Dunia: Sepanyol tersingkir dengan kemenangan ke atas Australia

AKSI pemain Sepanyol, David Villa (kanan) ketika menjaringkan gol menewaskan penjaga gol Australia, Mathew Ryan pada perlawanan Piala Dunia Brazil di Baixada arena, Curitiba, awal pagi ini. Kedudukan terkini Sepanyol masih mendahului 1-0. - Foto Reuters
CURITIBA: Sepanyol menewaskan Australia 3-0 dalam perlawanan terakhir mereka dalam Kumpulan B sebentar tadi. Keputusan ini sekurang-kurangnya dapat memberi juara bertahan itu sedikit penawar duka dalam kempen yang buruk kali ini.

Kedua-dua pasukan itu sudah pun tersingkir awal sebelum hadir dalam perlawanan ini selepas tewas pada dua perlawanan pertama. David Villa meletakkan La Roja di hadapan dengan satu kuisan cantik pada minit ke-36 selepas menerima hantaran paras rendah daripada Juanfran.

Penyerang Chelsea, Fernando Torres menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-69 selepas yakin menolak masuk hantaran Andres Iniesta sebelum pemain gantian, Cesc Fabregas dan Juan Mata bergabung tenaga untuk gol ketiga pada minit ke-82. Mata bijak menolak masuk melepasi penjaga gol Australia, Mat Ryan.

Belanda mendahului Kumpulan B berbekal sembilan mata maksimum selepas menewaskan Chile 2-0.