Responsive Advertisement

10 pantang larang apabila berpindah ke sekolah baru

Pengalaman berpindah ke sekolah baru pasti memberi banyak pengalaman kepada mereka yang pernah berhijrah sama ada mengikut pasangan mahupun nak dekat mak ayah di kampung. Belum lagi cerita berpindah disebabkan naik pangkat.

Rasanya berpindah kerana kenaikan pangkat tiada masalah sebab jadi bos, boleh mengarah-arah. Isunya apabila berpindah dengan gred yang sama. Maka bersedialah dengan pelbagai kejutan-kejutan baru selama beberapa hari, bulan dan tahun.

Namun, hijrah atau berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain sangat digalakkan supaya kita boleh terhindar daripada perasaan comfort zone pada sesebuah tempat. Apabila kita sudah terlalu selesa dengan sesebuah tempat boleh menyebabkan kita menjadi malas mahu berusaha ataupun sukar menerima pembaharuan. Namun hijrah yang afdhal ialah hijrah syarie kerana mahu menegakkan syiar Islam sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya dahulu.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أُنْزِلَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ ابْنُ أَرْبَعِينَ فَمَكَثَ بِمَكَّةَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ سَنَةً ثُمَّ أُمِرَ بِالْهِجْرَةِ فَهَاجَرَ إِلَى الْمَدِينَةِ فَمَكَثَ بِهَا عَشْرَ سِنِينَ ثُمَّ تُوُفِّيَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Ibnu Abbas[1], meriwayatkan bahwa Rasûl SAW menerima wahyu ketika berusia empat puluh tahun, kemudian tetap di Mekah selama tiga belas tahun, kemudian diperintah hijrah. Beliau hijrah ke Madinah dan berada di sana selama sepuluh tahun hingga wafat. Hr. Ahmad (164-241H), al-Bukhari (194-256H)

Walaubagaimanapun, hakikat yang perlu kita terima apabila melapor diri ke sekolah baru ada beberapa pantang larang yang perlu kita jadikan panduan. Mungkin betul setengah tempat mungkin tidak juga. Apa pun CS kongsikan berdasarkan pengalaman sendiri dan pengalaman daripada orang lain.

Pantang larangnya ialah

  • Tidak terus menonjolkan diri kerana tidak semua orang boleh menerima kehadiran kita disitu.
  • Jika mendengar gosip, diamkan sahaja kerana kita tidak tahu lagi siapa pihak yang benar.
  • Usah dibuka semua pekung di dada. Silap kawan, mahu tular kita jadinya di sekolah itu.
  • Ambil tempoh masa yang lama untuk mengenali orang yang betul-betul kita boleh percayai. Jika perlu sampai setahun, masakan tidak. Biar betul-betul kita kenali siapa yang bersama di saat kita teruji dengan pelbagai politik organisasi.
  • Relakan sahaja jika orang melabelkan kita sebagai seorang yang pendiam. Biar pendiam jangan sombong. Kadang-kadang karakter kita bukanlah seorang yang pendiam pun tetapi biarkan seketika untuk langkah berjaga-jaga. Manusia ni kita tak kacau pun dia mengata apatahlagi jika kita ramah terlebih.
  • Terima tugasan seadanya. Usah terlebih menawarkan diri kerana boleh jadi dua kemungkinan. Ada orang akan hasad dengan kita dan kita akan menerima tugasan bertubi-tubi seperti panahan serangan gerila. Boleh jadi tugasan itu sampai ke pencen gamaknya. Mungkin ada juga menerimanya sebagai positif tetapi banyaknya CS tengok negatif. Berpada-pada je lah melainkan memang niat sebagai batu loncatan untuk mudah naik pangkat kelak. Maka tiada masalah. Bermaksud kita sudah bersedia ke arah itu dan akan menerima pelbagai persepsi orang sekitar terhadap diri kita dengan tenang.
  • Redha dengan suasana baru dan menerimanya dengan tenang.
  • Tingkatkan syukur dengan ujian-ujian yang mendatang setiap hari dengan andaian penyuci dosa-dosa lepas.
  • Senyum jangan kedekut tetapi bila dah jumpa orang tu banyak kali dia buat ‘derk’ je hentikan sahaja sebab bukan dia yang bayar gaji supaya hormat dia lebih. Tetapi tidaklah bermaksud mencari musuh. Hal ini supaya hati tidak terasa sakit bila senyum tetapi tidak diendahkan. Maniskan muka sahaja. Ada manusia ni terlebih ego sebab dia lupa ada lagi yang Maha Berkuasa.
  • Hendaklah gembira kerana hajat untuk berpindah ke arah kehidupan lebih baik telah ditunaikan oleh Allah SWT.