Responsive Advertisement

Polis sahkan video kejadian pelajar tingkatan dua dinoda di sekolah

Gambar hiasan
POLIS hari ini mengesahkan kewujudan satu video tular dikaitkan dengan kejadian pelajar tingkatan dua dirogol dan dipaksa melakukan seks oral oleh enam calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah menengah di Tawau, pada 15 November lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada orang awam berhubung video terbabit yang dikesan mula tersebar sejak dua hari lalu.

Sehubungan itu, beliau memberi peringatan dan amaran kepada masyarakat supaya berhenti menyebarkan video terbabit atau berdepan tindakan undang-undang.

“Sekiranya orang awam atau mana-mana individu didapati mengedar video terbabit, polis tidak teragak-agak mengambil tindakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Selain itu, saya menggesa sesiapa yang memiliki video berkenaan supaya memadamkannya kerana boleh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau, hari ini.

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama semua pihak supaya tidak mengganggu siasatan polis termasuk suspek dan saksi yang ketika ini masih menghadapi peperiksaan SPM.

Dalam kejadian 11 pagi Jumaat minggu lalu, mangsa yang juga pelajar di sekolah sama ditemui seorang guru dalam keadaan separuh bogel di bilik di sekolah berkenaan.

Mangsa kemudian memaklumkan dia dirogol dua daripada tujuh suspek, manakala empat lagi melakukan seks oral, serta seorang lagi suspek hanya melihat perbuatan enam rakannya itu.

Semua suspek ditahan direman pada hari sama selepas laporan polis dibuat ibu mangsa pada 3.30 petang, manakala mangsa pula dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk tujuan pemeriksaan.

Bagaimanapun, semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis sebaik saja tempoh reman tamat pada Ahad lalu bagi membolehkan mereka menduduki SPM yang akan berakhir 28 November ini.

Sumber: Harian Metro