Responsive Advertisement

Tips penggunaan pendingin hawa semasa cuaca panas - TNB

Ekoran cuaca panas dan kering ketika ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihati pengguna mengambil langkah mengoptimumkan penjimatan tenaga elektrik semasa menggunakan pendingin hawa.

TNB dalam kenyataannya hari ini berkata antara langkah penjimatan tenaga elektrik ialah dengan melaraskan suhu pendingin hawa antara 24 ke 26 darjah Celcius, memastikan semua pintu, tingkap dan lubang edaran tertutup supaya hawa sejuk tidak keluar daripada bilik.

“Gunakan kipas bagi membantu menyejukkan bilik agar suhu pendingin hawa dapat diselaraskan lebih tinggi bagi menjimatkan tenaga.

“Penapis pendingin hawa juga perlu ditukar atau dibersihkan bagi memaksimumkan proses penyejukan kerana penapis yang kotor akan menghalang aliran udara dan mengurangkan kecekapan pendingin hawa,” menurut kenyataan itu.

Bagi pengguna yang mahu membeli atau menukar pendingin hawa, mereka dinasihatkan memilih saiz dan kapasiti kuasa kuda yang tepat dan sesuai dengan saiz ruang bilik. Label kecekapan tenaga yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga juga perlu dijadikan panduan.

Penjimatkan tenaga elektrik juga boleh dilakukan dengan mengurangkan penggunaan pengering pakaian, mengelakkan cucian pakaian menggunakan air panas dan menggunakan lampu LED.

- Bernama