KENYATAAN MEDIA
JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA
07 JAMADILAKHIR 1441 HIJRAH / 1 FEBRUARI 2020
IMIGRESEN GEMPUR RESTORAN SAJI GRO DAN RUMAH URUT SAJI KHIDMAT SEKS
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu sebuah restoran yang terkenal dengan gelaran ‘kedai kopi korek’ dan sebuah rumah urut yang terkenal dengan gelaran ‘happy ending massage’ di sekitar Kuala Lumpur pada malam 31 Januari dan awal pagi 1 Februari 2020 dengan menggunakan kekuatan seramai 17 orang Pegawai Imigresen. Dalam kedua-dua operasi ini seramai 37 warga asing dan 2 warga tempatan telah berjaya ditahan.
Operasi fasa pertama telah dijalankan pada jam 11.30 malam di sebuah restoran ‘kedai kopi korek’ yang terletak di Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Premis tersebut menawarkan perkhidmatan pelayan pelanggan (GRO) dan aktiviti kalungan bunga sebagai taktik tarikan pelanggan untuk mengaut keuntungan berlipat ganda.
Seramai 88 orang telah diperiksa dan hasilnya JIM telah berjaya menahan seramai 26 orang wanita pelbagai warganegara yang terdiri daripada 19 orang wanita warganegara China, empat orang wanita Indonesia, dua orang wanita Myanmar dan seorang wanita Thailand yang bekerja sebagai GRO, penari, penyanyi dan juga pekerja premis tersebut.
Wanita-wanita warganegara asing ini akan meneman pelanggan semasa minum dan makan di restoran tersebut. Pada masa yang sama, wanita warganegara asing ini juga akan membuat persembahan di pentas dan pelanggan-pelanggan akan didekati oleh ‘MUMMY’ untuk memberikan kalung bunga sebagai ‘tips’. Kalung bunga yang berharga dari RM50 hingga RM100 akan dihadiahkan oleh pelanggan kepada wanita yang mereka suka.
Selain itu, seramai lima orang lelaki warga asing turut ditahan. Mereka terdiri daripada tiga orang lelaki Bangladesh dan dua lelaki Myanmar yang merupakan pekerja restoran tersebut.
Operasi fasa seterusnya dijalankan pada jam 2.30 pagi di sebuah rumah urut yang menawarkan pakej penuh iaitu pakej seks di kawasan Sri Petaling, Kuala Lumpur. Premis ini menawarkan perkhidmatan seks dengan harga RM178 hingga RM188 bagi tempoh masa langganan selama 45 minit.
Terdapat cubaan melarikan diri oleh wanita warganegara asing semasa pemeriksaan dijalankan tetapi cubaan tersebut telah digagalkan oleh anggota serbuan yang membuat kepungan awal di sekitar premis. Hasil pemeriksaan, JIM berjaya menahan seramai enam orang wanita warganegara asing yang terdiri daripada lima orang wanita Vietnam dan seorang wanita Indonesia. Turut ditahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang merupakan penyelia, juruwang dan juga penjaga bagi wanita-wanita warganegara asing di premis tersebut.
Sebanyak 14 notis untuk hadir memberi keterangan (Saman Saksi) dikeluarkan kepada pekerja dan pelanggan di kedua-dua lokasi bagi membantu siasatan.
Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Kesemua tahanan akan di tempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk siasatan.
#TAMAT#
DATO’ INDERA KHAIRUL DZAIMEE BIN DAUD
KETUA PENGARAH
JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA