Responsive Advertisement

Keterlaluan… Persembahan Drama Band dan Aina Abdul disekat Youtube

Gara-gara persembahan yang diifatkan sebagai keterlaluan, Persembahan kumpulan Drama Band menerusi lagu “Drama” dan “Sumpah” nyanyian Aina Abdul di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) 34 disekat di dalam Youtube TV3.

Malah pertandingan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil Ahad lalu turut mengundang kecaman netizen.

Segelintir berasa kurang senang dengan kedua-dua persembahan tersebut yang dianggap melanggar peraturan yang ditetapkan untuk stesen televisyen.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Television Networks, Johan Ishak memberitahu pihaknya tidak dimaklumkan mengenai konsep tersebut yang dianggap gimik keterlaluan itu.

Sehubungan itu katanya, 2 video berkenaan telah disekat daripada saluran Youtube TV3.

“Ia salah satu contoh apabila peserta finalis menghasilkan gimik melampau. Padahal sewaktu sesi latihan, tak ada pun konsep terbabit (politik),” katanya memetik laporan media.

Menurut Johan, Drama Band sewajarnya memaklumkan kepada pihak produksi sekiranya ingin tampil dengan elemen sensitif sedemikian.

“Sepatutnya mereka cakap dari segi mesej apa nak buat dengan konsep persembahan itu tapi tidak. Ini agak sensitif,” katanya.

Tambahnya, dia akan memastikan tindakan sewajarnya diambil sekiranya kumpulan terbabit didapati melanggar kod kandungan penyiaran yang ditetapkan.

Drama Band mempersembahkan konsep “cynical parody” dengan menggunakan beberapa karektor yang didakwa menyerupai figura terkenal antaranya Haqiem, Haneesya Hanee, PU Abu dan Da’i Farhan.

Kumpulan yang dianggotai oleh Aepul Roza (vokalis), Adib (gitar), Daus (bes) dan Faeez (dram) itu turut menampilkan watak seperti bekas perdana menteri, Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor.

Manakala bagi Aina Abdul, Johan berkata, pihaknya akan membuat semakan kod kandungan daripada Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) bagi memastikan sama ada persembahan itu bercanggah dengan penyiaran stesen televisyen sebelum mengambil tindakan.

“Sebelum menunding jari kami fikir penyelesaian terbaik adalah menyemak dengan CMCF terlebih dahulu. Pihak produksi maklum mengenai konsep persembahan Aina yang menggunakan ‘darah’ untuk simbolik hati terluka. Tetapi tidak menyangka ia digunakan secara keterlaluan,” ujarnya.

Aina menerusi lagu Sumpah pula didakwa membawa mesej bunuh diri apabila terdapat adegan tikam dada hingga keluar darah.

Persembahan Aina mendapat bantahan daripada Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa).