Responsive Advertisement

Maut sebelum duduki SPM

CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut dalam kemalangan bersama bapanya ketika dalam perjalanan ke sekolah bagi menduduki peperiksaan itu di Jalan Teluk Air Tawar, Kepala Batas, hari ini.

Dalam kejadian 6.30 pagi yang membabitkan bas Rapid Penang dan motosikal itu, Muhammad Adam Shamsul Sharil, 17, disahkan meninggal dunia di hospital, manakala bapanya yang juga penunggang motosikal, Syamsul Shahril Abd Rahman, 51, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Nor berkata, siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati bas Rapid Penang dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun datang dari arah sama dengan mangsa.

“Ketiga-tiga mereka datang dari arah Bagan Ajam menghala ke Teluk Air Tawar dan sebaik sampai di lokasi kemalangan, motosikal dinaiki dua mangsa yang berada di lorong kiri mengubah haluan ke kanan dan masuk ke laluan bas.

“Pemandu bas gagal mengelak mangsa sebelum melanggar belakang motosikal mereka,” katanya.

Menurutnya, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Katanya, mangsa dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Air Tawar dan bedah siasat mangsa dilakukan di Hospital Kepala Batas.

Noorzainy berkata, kes di siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.